mattzzx Publish time 9-1-2024 05:23 PM

Banjir di Johor Bahru terus memburuk, 4 PPS lagi dibuka

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm9bahhh_1704789667.jpg
Pasukan penyelamat dari pelbagai agensi membantu memindahkan mangsa banjir, Goh Fah Yin, 72, dari rumah kedai di Jalan Tambatan berikutan hari ketiga pusat bandar ditenggelami air di daerah Kota Tinggi Johor, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Johor Bahru: Empat lagi pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka di Johor Bahru setakat jam 4 petang ini, menjadikan keseluruhan jumlah PPS yang beroperasi di daerah ini sebanyak 12.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir di daerah ini terus meningkat kepada 1,007 orang daripada 270 keluarga berbanding 847 orang daripada 235 keluarga pada jam 12 tengah hari tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, selain Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kluang juga mencatatkan jumlah mangsa banjir yang meningkat.

"Setakat jam 4 petang, Johor mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 7,460 orang daripada 2,095 keluarga yang kini ditempatkan di 57 PPS.


"Kota Tinggi yang paling teruk terjejas kini mencatatkan seramai 4,678 mangsa daripada 1,282 keluarga di 26 PPS, manakala Kluang meningkat menjadi 1,592 mangsa daripada 494 keluarga di 13 PPS," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Azmi, Kulai, Segamat dan Pontian masih kekal dengan jumlah mangsa banjir yang direkodkan tengah hari tadi iaitu Kulai seramai 86 orang daripada 23 keluarga di satu PPS, Segamat dengan 75 mangsa daripada 21 keluarga di empat PPS, manakala Pontian dengan 22 orang daripada lima keluarga yang berada di sebuah PPS.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, terdapat enam jalan di Kota Tinggi, satu jalan di Mersing dan dua jalan di Johor Bahru yang terjejas dengan banjir selepas dinaiki air dan semuanya masih ditutup bagi laluan semua jenis kenderaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pula mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada (kuning) sehingga hari ini di Kluang, Mersing, Kulai, Johor Bahru dan Kota Tinggi.

Manakala, amaran ribut petir pula dikeluarkan di Tangkak, Segamat dan Muar.

Sementara itu, empat lembangan sungai di negeri ini menunjukkan bacaan yang sudah melepasi paras bahaya masing-masing di sub lembangan Sungai Kahang di Kluang; Sungai Johor di Johor Bahru serta Sungai Kepala Orang dan Sungai Johor di Kota Tinggi.

Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), terdapat lima lembangan sungai di negeri ini yang melepasi paras amaran iaitu Sungai Muar dan Sungai Segamat di Segamat; Sungai Lenik di Batu Pahat serta Sungai Johor di Kota Tinggi.

Manakala, lembangan sungai yang melepasi paras waspada ialah Sungai Muar di Segamat; Sungai Tangkak dan Sungai Kesang di Tangkak; Sungai Sembrong dan Sungai Senggarang di Batu Pahat; Sungai Sayong di Kulai; Sungai Skudai di Johor Bahru dan Sungai Sedili Besar di Kota Tinggi.

Semua daerah di Johor dilaporkan masih mengalami hujan setakat jam 4 petang ini kecuali Mersing, Pontian, Kota Tinggi dan Kulai yang cerah.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/01/1048779/banjir-di-johor-bahru-terus-memburuk-4-pps-lagi-dibuka
Pages: [1]
View full version: Banjir di Johor Bahru terus memburuk, 4 PPS lagi dibuka


ADVERTISEMENT