mattzzx Publish time 9-1-2024 04:09 PM

Trak askar bantu hantar calon SPM terjejas banjir

https://assets.bharian.com.my/images/articles/sampan_1704784352.jpg
Peniaga memindahkan barang dari lot kedai yang dinaiki air menggunakan bot pada hari ketiga pusat bandar ditenggelami banjir di daerah Kota Tinggi Johor, Johor - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

KOTA TINGGI: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir di daerah ini akan dihantar dengan trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke pusat peperiksaan bagi menjalani ujian bertutur Bahasa Melayu sehingga Khamis ini.

Pengerusi Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh, berkata ia berikutan kebanyakan jalan utama di daerah ini masih dinaiki air sekali gus menyebabkan calon sukar ke pusat peperiksaan mereka.

Katanya, kebanyakan laluan utama yang ditenggelami banjir membabitkan kawasan bandar sehingga menjejaskan pergerakan calon SPM ke pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab dan SMK Bandar.

"Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM selama empat hari bermula semalam berjalan lancar di daerah ini, walaupun terdapat calon yang terpaksa menaiki trak ATM ke pusat peperiksaan mereka.



"Trak ATM susah bersiap siaga dan bersedia sejak semalam bagi membantu calon SPM yang terkandas ke pusat peperiksaan susulan banjir yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui meninjau pusat bandar Kota Tinggi yang ditenggelami bah sejak tiga hari lalu.

Secara keseluruhan terdapat seramai 48,276 pelajar dijangka menduduki peperiksaan SPM tahun 2023 di 364 pusat peperiksaan di negeri Johor.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, peperiksaan SPM akan bermula pada 8 hingga 11 Januari ini bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu, Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (17 hingga 23 Januari), Ujian Mendengar Bahasa Melayu (29 Januari), Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (29 Januari) dan peperiksaan bertulis (30 Januari hingga 7 Mac).

Dalam pada itu, Norlizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama berkata terdapat dua sekolah yang ditutup di daerah ini kerana dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.

Katanya, ia membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Jaya dan SK Dato Usman Awang.

"Sesi pembelajaran dijalankan melalui keadah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga makluman lanjut," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/01/1198103/trak-askar-bantu-hantar-calon-spm-terjejas-banjir
Pages: [1]
View full version: Trak askar bantu hantar calon SPM terjejas banjir


ADVERTISEMENT