mattzzx Publish time 8-1-2024 11:59 AM

Banjir: Jumlah mangsa banjir Johor meningkat mendadak, 6,564 mangsa di 51 PPS

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/01/WhatsApp-Image-2024-01-08-at-10.26.31-AM.jpeg
KEADAAN sekitar bandar Kota Tinggi yang dinaiki air hari ini.

JOHOR BAHRU – Mangsa banjir di negeri ini menunjukkan peningkatan mendadak apabila seramai 6,564 mangsa ditempatkan di 51 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Johor, setakat pukul 8 pagi tadi.

Jumlah itu meningkat sekali ganda berbanding seramai 3,322 mangsa yang ditempatkan di 45 buah PPS pada pukul 8 malam, semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, kesemua mangsa banjir ketika ini terdiri daripada 1,819 buah keluarga.

Katanya, enam daerah di negeri ini terjejas iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Segamat, Kluang, Pontian dan Kulai.

“Kota Tinggi merupakan daerah paling terjejas ketika ini dengan seramai 2,964 mangsa dipindahkan ke 24 buah PPS, diikuti Johor Bahru dengan seramai 1,844 mangsa di 10 buah PPS.

“Manakala Kluang menyaksikan seramai 1,633 mangsa ditempatkan di 14 PPS; Kulai seramai 86 mangsa di sebuah PPS; Segamat seramai 20 mangsa di sebuah PPS dan Pontian seramai 17 mangsa di sebuah PPS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Azmi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor turut memberitahu, kejadian banjir di negeri ini tidak merekodkan sebarang kecederaan atau kematian mangsa.

“Sementara itu, Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk dan waspada di seluruh Johor, sepanjang hari ini.

“Enam sungai di negeri ini telah mencapai paras air berbahaya iaitu Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang; Sungai Siam di Kampung Siam, Kulai; Sungai Linggiu, Sungai Kepala Orang serta dua kembangan Sungai Johor di Kota Tinggi,” ujarnya.

Azmi turut memberitahu, ketika ini tiga laluan ditutup sepenuhnya untuk kenderaan iaitu Jalan Kota Tinggi – Kluang dan Jalan Tai Hong di Kota Tinggi serta Jalan Maju Jaya – Seelong di Johor Bahru.-KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/01/08/banjir-jumlah-mangsa-banjir-johor-meningkat-mendadak-6564-mangsa-di-51-pps/
Pages: [1]
View full version: Banjir: Jumlah mangsa banjir Johor meningkat mendadak, 6,564 mangsa di 51 PPS


ADVERTISEMENT