tari Publish time 7-1-2024 06:25 PM

Banjir melimpahi rumah, calon SPM hanya sempat capai buku teks, bahan rujukan

https://assets.bharian.com.my/images/articles/photo1704614048_1704614790.jpg
Muhammad Aidid (kiri) bersama ibu dan adiknya menyemak dokumen penting diperlukan untuk menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM esok sebaik selamat tiba di PPS. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN


JOHOR BAHRU: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kampung Laut, dekat Skudai, di sini, bergegas menyelamatkan diri bersama tiga ahli keluarganya selepas kediaman mereka dinaiki air banjir petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, Muhammad Aidid Asraf Rozzeli, 17, bersama empat ahli keluarga termasuk ibu dan bapanya masing-masing panik selepas air Sungai Skudai di belakang kediaman mereka tiba-tiba melimpah.
Difahamkan, paras air meningkat laju sehingga paras betis dan memasuki rumah memaksa empat sekeluarga itu hanya sempat mencapai dokumen penting termasuk buku teks dan bahan rujukan SPM milik Muhammad Aidid sebelum keluar menyelamatkan diri.
"Ayah sempat mencapai semua buku teks, buku rujukan dan beg sekolah yang saya letak di atas meja makan, namun dalam kekalutan saya terlupa untuk membawa pakaian sekolah yang diletakkan di atas rak sebelum keluar menyelamatkan diri tadi.
"Saya sedikit tertekan sama ada boleh kembali ke rumah untuk mengambil pakaian sekolah kerana esok pagi perlu menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM," kata Muhammad Aidid ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dilaporkan mengumumkan Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM akan bermula esok iaitu 8 hingga 11 Januari, sebelum disusuli ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 17 hingga 23 Januari nanti.
Dalam pada itu, Muhammad Aidid berharap dapat bertemu dua rakan sekolahnya yang turut terjejas banjir dan bakal mengambil ujian bertutur bersamanya SPM esok.
Setakat ini, katanya dia belum dapat menghubungi dua rakannya itu.
"Mereka rakan sekampung yang bersama-sama bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai dan akan mengambil Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM, esok pagi.
"Mereka mungkin sedang diselamatkan petugas keselamatan dan dalam perjalanan ke PPS di sini.
"Saya risau kejadian banjir akan berulang ketika sudah dibenarkan pulang apabila banjir sudah surut nanti berikutan musim hujan diramalkan sehingga Mac nanti, sekali gus menyebabkan tekanan untuk menduduki SPM," katanya.sumber
Pages: [1]
View full version: Banjir melimpahi rumah, calon SPM hanya sempat capai buku teks, bahan rujukan


ADVERTISEMENT