mattzzx Publish time 7-1-2024 06:02 PM

Banjir di Johor kembali buruk, 5 daerah kini terjejas

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/obj48672754_1704619728.jpg
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat bersiap sedia menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Laut Skudai Kecil, Skudai. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Johor Bahru : Situasi banjir di Johor kembali buruk apabila kini lima daerah terjejas dengan Kulai menjadi daerah terbaharu membuka pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 4 petang tadi.

Segamat dan Johor Bahru turut kembali membuka PPS, hari ini manakala Kota Tinggi yang semalam menunjukkan situasi hampir pulih juga membuka semula sembilan PPS.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) , Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir kini mencecah 851 mangsa daripada 241 keluarga yang ditempatkan di 26 PPS berbanding 503 mangsa, 2 petang tadi.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu tidak termasuk mangsa banjir di Johor Bahru di sembilan PPS memandangkan data masih dikemaskini JBP Daerah.



"Kota Tinggi terus menjadi daerah paling teruk terjejas apabila 583 mangsa daripada 149 keluarga kini ditempatkan di 12 PPS.

"Kluang juga mencatatkan peningkatan apabila sebuah lagi PPS dibuka menjadikan tiga PPS yang beroperasi di daerah itu kini menempatkan 197 mangsa daripada 73 keluarga.

"Kulai yang baharu terjejas banjir kini menempatkan 51 mangsa daripada 14 keluarga di sebuah PPS, manakala satu PPS yang beroperasi di Segamat kekal menempatkan 20 orang mangsa daripada lima keluarga" katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, 12 jalan di Kota Tinggi yang terjejas akibat banjir.

Empat laluan ditutup untuk semua jenis kenderaan, manakala lapan lagi hanya dibuka bagi laluan kenderaan berat sahaja.

Sementara itu, tujuh sungai dilaporkan melepasi paras bahaya setakat 4 petang tadi iaitu Sungai Kahang di Kluang; Sungai Johor dan Sungai Siam di Kulai; Sungai Kepala Orang di Kota Tinggi serta Sungai Tiram, Sungai Tebrau dan Sungai Skudai di Johor Bahru.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/01/1048099/banjir-di-johor-kembali-buruk-5-daerah-kini-terjejas
Pages: [1]
View full version: Banjir di Johor kembali buruk, 5 daerah kini terjejas


ADVERTISEMENT