mattzzx Publish time 2-1-2024 04:05 PM

120 PATI bekerja di kilang konkrit diberkas tiada dokumen

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/01/WhatsApp-Image-2024-01-02-at-11.08.52-AM.jpeg
ANTARA warga asing yang ditahan JIM Johor di Ulu Choh, Pontian selepas didapati bekerja di negara ini tanpa dokumen sah.

PONTIAN – Seramai 120 lelaki warga asing telah ditahan di kawasan kuarters pekerja di tapak perkilangan Ulu Choh di sini awal pagi semalam selepas kesemua mereka didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah untuk berada di negara ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Baharuddin Tahir berkata, kesemua mereka ditahan dalam serbuan yang dijalankan pada pukul 1.42 pagi.

Katanya, operasi tersebut dijalankan selepas pihaknya menerima aduan awam mendakwa pekerja warga asing di sebuah kilang konkrit di kawasan berkenaan terdapat daripada pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 108 warga Bangladesh, Pakistan (lapan), India (dua), Nepal dan Indonesia (masing-masing satu) dengan kesemua mereka berusia antara 22 hingga 50 tahun.

“Operasi tersebut dijalankan seramai 140 pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasa JIM Johor, pegawai dan anggota Bangunan Sultan Iskandar dan juga Kompleks Sultan Abu Bakar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, lokasi serbuan yang berada jauh dari laluan utama itu merupakan kawasan penempatan pekerja dan tapak perkilangan bahan binaan.

“Kawasan tersebut dikelilingi ladang kelapa sawit selain terdapat lebih 30 kontena dan bahan cerucuk besi yang membahayakan orang ramai,” ujarnya.

Sementara itu, dalam satu operasi berasingan, Baharuddin memberitahu, pihaknya turut menahan sembilan tukang urut yang didapati bekerja tanpa permit sah menerusi Ops Gegar dan Ops Sapu yang dijalankan pihaknya di dua premis refleksologi di sekitar bandar raya ini, pada pukul 4 petang, semalam.

“Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang juga penjaga premis. Kesemua mereka berusia antara 22 hingga 38 tahun. Warga asing berkenaan ditahan kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) serta tinggal lebih masa di Malaysia.

“Tindakan itu diambil susulan aduan awam yang diterima menyatakan terdapat beberapa warga asing yang melakukan perbuatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang di negara ini,” katanya lanjut.

Tambah Baharuddin, kes tersebut berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama, Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Manakala lelaki tempatan pula ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melindungi warga asing.

“Orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi pendatang asing termasuk mengambil mereka untuk bekerja dan sekiranya ia berlaku, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang,” jelasnya lagi.-KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/01/02/120-pati-bekerja-di-kilang-konkrit-diberkas-tiada-dokumen/
Pages: [1]
View full version: 120 PATI bekerja di kilang konkrit diberkas tiada dokumen


ADVERTISEMENT