mattzzx Publish time 31-12-2023 05:25 PM

Kerani, pesara melopong duit simpanan RM2.29 juta dikebas scammer

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/12/WhatsApp-Image-2023-12-11-at-5.59.44-PM.jpeg
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang kerani syarikat swasta dan lelaki warga emas mengalami kerugian RM2,290,713 apabila terjerat dengan sindiket penipuan dalam talian melibatkan penyamaran sebagai pegawai polis serta pelaburan tidak wujud.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, kejadian pertama melibatkan seorang wanita berusia 45 tahun yang bekerja sebagai kerani syarikat swasta pada Jumaat lalu.

Katanya, wanita terbabit mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis pada awal November lalu.

“Pengadu diberitahu akaun banknya terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram dan suspek menawarkan diri untuk membantu mangsa.

“Pengadu diarah untuk menyerahkan segala butiran akaun bank termasuk menyerahkan akses perbankan dalam talian selain memindahkan wang ke akaun bank yang diarahkan sementera siasatan dijalankan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kumar berkata, mangsa menyedari dia tipu selepas menyemak akaun bank miliknya dan sejumlah RM1,086,350 dikeluarkan dari akaun bank serta suspek gagal dihubungi.

Sementara itu, bagi kes kedua pula melibatkan seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun yang juga pesara syarikat swasta semalam.

Katanya, mangsa menerima panggilan daripada syarikat September lalu yang menawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

“Pada mulanya, mangsa mencuba melakukan pelaburan secara jumlah yang kecil dan menerima keuntungan yang dijanjikan.

“Percaya dengan helah dan taktik itu, mangsa membuat pelaburan lagi sehingga RM1,204,363,”katanya.

Beliau berkata, mangsa menyedari dia telah tertipu susulan keuntungan yang diperolehinya tidak dapat dikeluarkan selain wang pelaburan lesap.

Tambahnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/12/31/kerani-pesara-melopong-duit-simpanan-rm2-29-juta-dikebas-scammer/
Pages: [1]
View full version: Kerani, pesara melopong duit simpanan RM2.29 juta dikebas scammer


ADVERTISEMENT