mattzzx Publish time 27-12-2023 05:30 PM

Banjir di Johor ‘merebak’ ke Segamat

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/12/IMG-20231227-WA0068.jpg
SEBAHAGIAN daripada mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS Kompleks Taman Negara Endau-Rompin, Mersing.




JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat menjadi 108 orang setakat pukul 2 petang tadi dengan daerah Segamat mula dinaiki air.

Jumlah itu melibatkan 30 keluarga yang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Mersing dan Segamat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, Mersing merekodkan jumlah mangsa seramai 83 penduduk daripada 25 keluarga.

“Kesemua mangsa banjir di Mersing itu melibatkan penduduk Kampung Orang Asli Peta yang dipindahkan ke PPS Kompleks Taman Negara Endau-Rompin yang dibuka sejak pukul 6 petang semalam. Keadaan banjir itu menyebabkan Jalan Kampung Orang Asli Peta itu terputus hubungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Johor berkata, dua buah PPS mula dibuka sejak 2 petang tadi di Segamat, iaitu di Balai Raya Kampung Baru Badak dan Balai Raya Kampung Jabi.

Katanya, seramai 17 penduduk Kampung Sebarang Batu Badak, Jementah dipindahkan ke PPS di balai raya kampung berkenaan, manakala lapan mangsa Kampung Sermin, Pemanis dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Jabi.

“Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan amaran ribut petir di Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian. Sementara itu, di Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru diramal hujan berterusan sehingga esok,” katanya.

Laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor menunjukkan Sungai Sayong, Kulai berada pada paras bahaya dengan ketinggian semasa 18.19 meter (m), manakala Sungai Simpang Kanan dan Sungai Sembrong, Batu Pahat menunjukkan peningkatan berada pada paras waspada dan Sungai Skudai, Johor Bahru berada pada paras amaran. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/berita/2023/12/banjir-di-johor-merebak-ke-segamat/
Pages: [1]
View full version: Banjir di Johor ‘merebak’ ke Segamat


ADVERTISEMENT