mattzzx Publish time 27-12-2023 12:14 PM

Jenama MXKIDS semakin mengukuh

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/12/GAMBAR-3-1.jpg
MXKIDS menjadi medan terbaik untuk mengasah bakat pelumba muda khusunya dalam saingan motocross dan perlumbaan motosikal secara amnya.

KEJUARAAN Motocross Malaysia (MMC) 2023 telah melabuhkan tirainya pada perlumbaan kelima dan terakhir di Litar Motocross Medini, Iskandar Puteri, Johor baru-baru ini setelah empat pusingan berlangsung.

Bagi kejuaraan pada tahun 2023, MXKIDS telah menerima sebanyak 216 penyertaan untuk bersaing di kejohanan kebangsaan yang melibatkan peserta berumur 7 hingga 16 tahun.

Antara kategori dipertan­dingkan ialah MX50cc, MX65cc, MX85cc dan sub kategori Rookie 50cc dianjurkan khas buat pelumba baharu yang mahu melibatkan diri dalam sukan lasak.

Pengasas MXKIDS, Fazril Zabidi memberitahu, pihaknya telah diberi kepercayaan oleh penganjur MMC 2023 untuk membawa acara itu dalam perlumbaan kebangsaan dengan taruhan slogan ‘Go Big or Go Home’.

“Alhamdulillah, misi utama MXKIDS pada tahun ini tercapai dengan mengekalkan momentum pembangunan motocross negara serta berjaya mencungkil bakat tunas bagi sukan permotoran tanah air.

“Pada tahun ini, seramai 11 orang pelumba baharu menyertai MMC 2023. Ini menunjukkan bahawa sukan motocross sema­kin mendapat perhatian daripada ibu bapa khususnya pelumba muda,” katanya.

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/12/GAMBAR-1.jpg
SAINGAN MXKIDS musim ini semakin mendapat sambutan daripada para pasukan dan pelumba yang bertanding selepas perlumbaan tersebut dimasukkan dalam kalendar MMC 2023.

Selain peluang merasai perlumbaan sebenar, MXKIDS juga telah mula menerapkan elemen profesionalisme dalam kalangan pelumba muda bagi persediaan awal ke tahap yang lebih tinggi pada masa depan.

Pembentukan pasukan yang menguruskan para peserta terutama melibatkan penyediaan jentera dan keperluan menjadikan imej pelumba muda lebih menarik, sekali gus memberi peluang untuk mereka menikmati dunia perlumbaan sebenar.

Musim lalu, perlumbaan ini hanya dikenali sebagai MXKIDS Funrace Series dan telah me­nerima sebanyak 132 penyertaan pelumba cilik daripada seluruh Semenanjung Malaysia dengan melibatkan empat pusingan berlangsung di Selangor, Pahang, Johor dan Perak.

Bagi saingan tahun ini, kema­sukan dalam kalendar MMC 2023 menjadikan MXKIDS semakin mendapat sambutan menerusi pertambahan jumlah peserta dan pusingan perlumbaan apabila ia membuka tirai di Litar Motocross Padang Ibu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Julai lalu.

Bagi pusingan terakhir yang berlangsung di Litar Motocross Medini, Muhammad Aqil Putra Nizam dari PGM Tech 23 Racing Team dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori MX85cc selepas unggul menguasai pusingan terakhir tersebut.

Tempat kedua bagi kategori tersebut pada aksi di Medini berjaya diraih pelumba Kemensah Racing Team, Putra Awwalzafri Mohd Zikri, manakala wakil Si­ngapura, Luke Alan Wong melengkapkan kedudukan podium.

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/12/GAMBAR-2.jpg
PELUMBA pasukan DAYZAMX Amsoil Racing Team, Khairul Izqi (kiri) dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori MX50cc selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang lima pusingan.

Sementara itu, dalam kategori MX50cc, perlumbaan berjaya dikuasai tiga pelumba pasukan DAYZAMX Amsoil Racing Team, Khairul Izqi Akmal Saipudin, ­Aliff Khaliq Fazril dan Muhammad ­Ziaulhaq Hulaif Zamri.

Khairul Izqi yang berjaya mengekalkan prestasi sepanjang lima pusingan musim ini berjaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori berkenaan.

Bagi kategori MX65cc, Nur Aishah Abdullah melakar kejutan apabila meraih kemenangan tempat ketiga bagi pusi­ngan terakhir itu yang berjaya dikuasai Muhammad Ariff Darwisy Mohd. Fuad dan rakan sepasukannya, Muhammad Rayyan Arif Mohd Rozaifri dari Vector Motorsport di tempat kedua.

Bagaimanapun, pelumba pasukan Fattah Motorsport, Muhammad Zill Qayyim Muhammad dinobatkan sebagai juara keseluruhan untuk kategori berkenaan.

Dalam pada itu, Fazril menjelaskan bahawa pihaknya masih lagi dalam merangka program pembangunan yang lebih tersusun bersama Kementerian Belia dan Sukan bagi memastikan ke­langsungan program akar umbi untuk tahun 2024.

“Kami mungkin akan me­ngadakan program seperti ‘boot camp’ serta perlumbaan di zon-zon tertentu, namun ia masih di peringkat perbincangan.

“Bagi peminat sukan motocross atau ibu bapa yang mahu memberikan pendedahan kepada anak-anak boleh melayari laman facebook Motocross Kids Malaysia/MXKids,” jelasnya.
https://www.kosmo.com.my/2023/12/27/jenama-mxkids-semakin-mengukuh/
Pages: [1]
View full version: Jenama MXKIDS semakin mengukuh


ADVERTISEMENT