mattzzx Publish time 25-12-2023 04:21 PM

Peniaga ayam penyek mati ditikam, adik lelaki dan wanita diberkas

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/12/WhatsApp-Image-2023-12-25-at-12.00.04_8e3f64d3-2048x1536.jpg
RUMAH yang disyaki menjadi lokasi kejadian bunuh melibatkan seorang wanita warga asing di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Polis berjaya menahan dua suspek utama kes pembunuhan melibatkan seorang wanita warga asing berusia 41 tahun di kawasan perumahan di Taman Ungku Tun Aminah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, suspek yang ditahan kira-kira pukul 7.47 malam semalam merupakan adik lelaki kepada mangsa yang berusia 24 tahun dan seorang lagi wanita berusia 41 tahun.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 4.35 pagi. Siasatan dibuat mendapati mangsa maut ditikam objek tajam pada pukul 2.30 pagi.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek wanita di kediamannya, manakala suspek lelaki pula ditahan di tempat pembuangan sampah kawasan perumahan itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan, bagaimanapun punca kejadian masih dalam siasatan.

“Kedua-dua suspek ditahan reman dan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-6943836,” jelasnya.

Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu, adik kepada mangsa mengetuk pintu rumahnya pada pukul 2 pagi untuk meminta air.

“Ketika itu kami sudah tidur, tetapi terbangun kerana terdengar bunyi bising seperti orang bergaduh. Tidak lama selepas itu adik mangsa mengetuk pintu rumah dan meminta air.

“Saya yang dalam keadaan mamai kerana baharu terjaga daripada tidur memberikannya air, dia ambil air itu kemudian terus melarikan diri,” jelasnya.

Seorang peniaga yang juga enggan dikenali memberitahu, mangsa bersama adiknya menjual ayam penyet bersebelahan gerainya sejak dua bulan lalu.

“Mereka adik-beradik, kedua-duanya merupakan warga Indonesia. Walaupun berniaga di gerai bersebelahan tetapi kami tidak banyak berbual jadi tidak berapa kenal.

“Mereka kelihatan normal sahaja, tiada apa-apa yang pelik, adiknya juga normal, cuma kurang bercakap sahaja,” ujarnya yang mengakui terkejut dengan berita kematian mangsa .- KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/12/25/peniaga-ayam-penyek-mati-ditikam-adik-lelaki-dan-wanita-diberkas/
Pages: [1]
View full version: Peniaga ayam penyek mati ditikam, adik lelaki dan wanita diberkas


ADVERTISEMENT