mattzzx Publish time 25-12-2023 04:05 PM

F1: Jentera penentu prestasi Hamilton

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/12/LEWIS-HAMILTON.jpg
HAMILTON mampu menyaingi kehebatan Verstappen sekiranya diberikan jentera terbaik oleh Mercedes. - AFP

LONDON – Bekas juara dunia Formula Satu (F1), Jenson Button mengakui saingan perlumbaan musim 2024 nanti lebih terbuka dengan Lewis Hamilton mampu memberi pertarungan sengit dalam usaha menamatkan kemarau kejuaraan dunia.

Menurut Button, di atas kertas, pasukan Red Bull masih lagi menjadi pilihan utama untuk terus mendominasi perlumbaan F1 pada saingan tahun depan seperti yang dilakukan pada musim ini.

“Red Bull adalah pilihan utama untuk bergelar juara kerana mereka memiliki jentera yang cukup sempurna. Mungkin kalau anda tidak menyaksikan perlawanan dan hanya menunggu keputusan, anda tidak kisah kerana Max Verstappen bergelar juara lagi.

“Namun, situasi sebenarnya adalah berbeza kerana perlumbaan berlangsung cukup sengit pada musim ini dan dia tidak menang dengan mudah. Cuma, saya harapkan persaingan lebih positif dengan pelumba lain mampu menjadi juara Grand Prix (GP),” katanya.

Mengulas lanjut, Button optimis Hamilton yang juga rakan senegaranya mampu menjadi pencabar utama kepada Verstappen, tetapi dengan syarat perlu mendapatkan jentera terbaik daripada pasukan Mercedes.

“Saya tidak menolak kemungkinan andai Hamilton memandu jentera yang kompetitif, dia boleh mencabar kedudukan Verstappen. Saya rasa dia belum mengambil keputusan untuk bersara kerana menantikan peluang tersebut,” katanya.

Sebagai rekod, Verstappen telah mendominasi 19 GP daripada 22 perlumbaan musim ini untuk meraih kejuaraan dunia hatrik yang dimenangi sejak edisi 2021.

Hamilton pula kali terakhir mengecapi kejuaraan dunia pada musim 2020 dan kini memburu rekod selaku pemenang terbanyak sepanjang zaman selepas berkongsi kedudukan dengan Michael Schumacher dengan tujuh gelaran keseluruhan. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/12/25/f1-jentera-penentu-prestasi-hamilton/
Pages: [1]
View full version: F1: Jentera penentu prestasi Hamilton


ADVERTISEMENT