Chelsea bukan badan kebajikan - Pochettino
https://assets.bharian.com.my/images/articles/poche2312_1703314256.jpgChelsea kendalian Mauricio Pochettino berdepan masalah kecederaan pemain pada awal musim hingga menjejaskan persembahan mereka dalam Liga Perdana Inggeris setakat ini. – Foto AFP
LONDON: Mauricio Pochettino memberi amaran kepada pemain Chelsea bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) 'bukan satu kebajikan' dan mereka tidak boleh jangkakan terus kembali ke dalam pasukan selepas pulih daripada kecederaan.
Kelab London itu terjejas teruk akibat kecederaan musim ini dan kini terdampar di tangga ke-10 EPL menjelang perlawanan menentang Wolves di tempat lawan malam esok.
Pemain antarabangsa Belgium, Romeo Lavia, yang menyertai mereka dari Southampton pada Ogos lalu dengan harga £58 juta (RM343 juta), masih belum melakukan penampilan sulung bersama kelab itu manakala penyerang Perancis, Christopher Nkunku tampil sebagai pemain gantian ketika menang aksi Piala Liga ke atas Newcastle Selasa lalu susulan pembedahan lutut.
Pengurus Chelsea, Pochettino mengesahkan Lavia, 19, mungkin disenaraikan dalam skuad di Molineux tetapi menegaskan Nkunku, 26, yang menjaringkan gol ketika penentuan penalti berdepan skuad kendalian Eddie How, masih tidak cergas sepenuhnya.
"Semua pemain selepas satu tempoh berehat yang lama, mereka terdesak untuk beraksi," kata Pochettino awal pagi tadi.
"Mereka boleh terbabit, tetapi di tahap mana? Mudah untuk berkata 'saya mahu bermain' tetapi kami bertanding dan ia serius, pertandingan.
"Selepas enam bulan, seperti Nkunku dan Lavia, mereka perlu faham untuk terbabit mereka perlu berlatih benar-benar gigih setiap hari. Mereka perlu membuat impak setiap kali masuk ke padang. Ia bukannya kami bermain aksi pramusim.
"Pemain perlu faham ia bukannya perkara kebajikan, kami bermain bukan untuk suka-suka. Kami perlu menang. Kadang-kadang agak sukar buat orang memahami keadaan pemain."
Pochettino menjelaskan jika Nkunku tidak bermain menentang Sheffield United minggu lalu, apabila dia tampil sebagai pemain simpanan yang tidak diturunkan, ia "bukannya kami tidak percayakannya atau Lavia."
"Ia kerana ada pemain lain yang lebih cergas dan berlatih selama enam bulan dan bersedia untuk membuat impak berbanding mereka," katanya.
"Ia mengenai saat ini, hari ini. Siapa yang sedia bersaing dan memberikan apa yang kami harapkan?
"Kadang-kadang ia mengganggu saya. Orang di sekitar pemain merungut. Ayuhlah. Kelab ini kecewa ia melabur terhadap pemain untuk bertindak cemerlang dan menjaringkan gol. Untuk mendapat keseimbangan yant tepat dalam perniagaan ini penting."
Pochettino mengesahkan kapten Reece James terpaksa berehat "beberapa minggu" dan mungkin berlanjutan kepada beberapa bulan selepas menjalani pembedahan hamstring manakala pemain tengah Enzo Fernandez akan terlepas aksi di Molineux selepas mengalami masalah hernia. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2023/12/1192076/chelsea-bukan-badan-kebajikan-pochettino
Pages:
[1]