mattzzx Publish time 16-12-2023 01:01 PM

Genggam ijazah selepas 11 tahun pengajian

https://assets.bharian.com.my/images/articles/rahmatul_1702697018.jpg
Rahmatul Fikri gembira selepas menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-21, Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai, semalam. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil

NILAI: Selepas 11 tahun Rahmatul Fikri Haidin akhirnya menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat dengan Kepujian pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-21, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, semalam.

Graduan berusia 30 tahun yang kini menetap di Johor Bahru itu berkata, dia memulakan pengajian di USIM pada tahun 2012 dan sepatutnya menamatkan pengajian berkenaan selepas empat tahun iaitu pada 2016.

Katanya, bagaimanapun ia tertangguh kerana pelbagai kekangan dihadapi termasuk gagal melengkapkan syarat menduduki Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

"Sepanjang pengajian, saya telah mengikuti semua subjek bagi program pentadbiran muamalat yang perlu diikuti dan ditetapkan, namun tidak dapat melengkapkan syarat MUET bagi membolehkan saya menamatkan pengajian dengan sempurna.



"Selain itu ada pelbagai kekangan lain membuatkan ia tertangguh termasuk tuntutan kerja membuatkan saya hampir berputus asa untuk melengkapkan semua syarat pengajian.

"Bagaimanapun, tahun lalu saya menerima panggilan daripada USIM untuk membantu meneruskan semula kelas berkenaan," katanya ketika ditemui selepas menerima ijazah berkenaan, di Dewan Tuanku Canselor USIM, petang semalam.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata, Ketua Program Pentadbiran Muamalat USIM, Dr Nur Qamarina Sharom memberikan cadangan supaya beliau mengambil program kursus Bahasa Inggeris untuk pekerjaan yang akan melayakkannya menamatkan pengajian berkenaan dan menerima ijazah.

"Pada mulanya memang saya tak nak meneruskan pengajian yang sudah tertangguh lama, tetapi memikirkan rasa rugi selepas berjuang selama empat tahun, saya menerima cadangan Dr Nur.

"Pada masa sama, isteri yang juga alumni USIM tahun 2016 memberikan sokongan dan memberikan cadangan supaya saya mengambil kursus jangka pendek ini yang diadakan pada setiap hujung minggu secara dalam talian," katanya yang pernah membuka kiosk Chef Takoyaki di Nilai selama empat tahun sebelum berhijrah ke Johor Bahru.

Rahmatul Fikri kini bekerja sebagai penolong cef melahirkan rasa syukur atas bantuan pihak pengurusan USIM dan sokongan isteri serta ahli keluarganya, apabila akhirnya dia berjaya juga menggenggam segulung ijazah meskipun selepas 11 tahun.

"Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan kejayaan ini dan tidak menyangka akhirnya dapat juga menggenggam segulung ijazah yang bakal jadi penentu kepada masa depan diri dan keluarga," katanya yang hadir bersama kedua ibu bapanya.

Rahmatul Fikri antara graduan dalam kumpulan terakhir daripada keseluruhan 3,146 graduan dari 89 program pengajian yang menerima ijazah dan diploma masing-masing pada majlis konvokesyen USIM yang berlangsung selama lima hari dan berakhir semalam.

https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2023/12/1189674/genggam-ijazah-selepas-11-tahun-pengajian
Pages: [1]
View full version: Genggam ijazah selepas 11 tahun pengajian


ADVERTISEMENT