tari Publish time 15-12-2023 09:27 AM

Kutip 1,289kg sampah

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2023-12-13_16-48-17_1702591447.jpg
SUKARELAWAN menyepit dan menyauk sampah di Sungai Kampung Sungai Melayu pada Program CSR PAAB, Pembersihan Pantai dan Bakau 2023.
Iskandar Puteri: Sebanyak 1,289 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), 'Satu Gelombang Perubahan' - Program Pembersihan Pantai & Bakau 2023, di tiga lokasi seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir Zulkiflee Omar, berkata dalam program sama juga, sebanyak 1,000 pokok bakau ditanam iaitu 300 pokok bakau di Nibong Tebang, Pulau Pinang; Tanjung Karang di Selangor (300) dan Kampung Sungai Melayu, Iskandar Puteri, di sini (400).
Katanya, program terbabit memperkukuh komitmen PAAB terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan kelestarian alam sekitar.
"Kita bersama membersihkan hutan paya bakau di kampung ini dengan mengutip sampah sarap, sisa pepejal dan bahan buangan lain yang tidak sepatutnya berada dalam ekosistem ini.
"Penanaman pokok bakau di sekitar kawasan paya bakau ini juga sebagai kesinambungan bagi memelihara kawasan ini daripada terdedah kepada hakisan ombak, sekali gus memberi keseimbangan ekosistem persisiran pantai.
"Kami sentiasa menggalakkan warga kerja kami untuk menyertai program dan aktiviti CSR sebagai komitmen terhadap masyarakat dan alam sekitar. Sejak 2019, program CSR kami telah beralih kepada aktiviti dan inisiatif yang berteraskan kelestarian alam sekitar dan membudayakan amalan hijau," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa Program Pembersihan Pantai & Bakau 2023 di Kampung Sungai Melayu di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad; Ketua Jabatan Projek Ranhill SAJ Sdn Bhd Ir Mohd Riza Mohd Yusof dan Timbalan Pendaftar Jabatan Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mohd Fauzi Abd Rahman.
Program sehari itu menghimpunkan lebih 100 sukarelawan PAAB, penduduk tempatan, sukarelawan Ranhill SAJ, sukarelawan UTM dan sukarelawan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS).
Jelas Ir Zulkiflee, selain Program Pembersihan Pantai & Bakau 2023 ini, pihak PAAB juga melakukan pelbagai CSR yang berteraskan kelestarian alam sekitar.Antaranya, Sustainability school dan masjid hijau.
"Program Sustainability School ini telah dilaksanakan di sembilan Sekolah Menengah dan Rendah yang terpilih. Pihak PAAB akan membuat penggantian aset air yang usang dan beri pendedahan kepentingan dan penjimatan air menerusi ceramah. Penggantian ini akan dibuat secara berterusan bergantung kepada keperluan.
"Selain itu, kami juga menjadikan beberapa masjid sebagai Masjid Hijau. Ini adalah kerjasama antara PAAB dan Malaysian Green Teknologi Corporation (MGTC).
"Menerusi Masjid Hijau, penjimatan tenaga dilaksanakan dengan penggantian lampu mentol kepada LED serta pili air biasa kepada pili cekap air yang membolehkan penjimatan air dilaksanakan," katanya.sumber
Pages: [1]
View full version: Kutip 1,289kg sampah


ADVERTISEMENT