mattzzx Publish time 14-12-2023 11:33 AM

Polis tahan lima lelaki disyaki terlibat samun di Nilai

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/jenayah-logo-2.png

SEREMBAN: Polis berjaya menangkap lima orang lelaki berusia 22 hingga 33 tahun yang disyaki sebagai suspek dalam kejadian samun bersenjata di sebuah rumah di Nilai di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pada pukul 3.22 pagi 12 Disember lalu, Kaunter Aduan Balai Polis Nilai telah menerima aduan daripada seorang lelaki warganegara India yang menyatakan telah disamun empat orang lelaki bersenjatakan parang.

“Semasa pengadu berada di rumah yang terletak di sebuah taman perumahan di Nilai, tiba-tiba datang empat orang lelaki yang bersenjata sebilah parang telah meminta pengadu untuk menyerahkan barang-barang peribadi milik pengadu.

“Suspek telah melarikan telefon bimbit dan beberapa barangan peribadi milik pengadu. Kerugian dianggarkan lebih kurang berjumlah RM10,600,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, hasil maklumat yang diperoleh, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai telah berjaya menangkap lima orang suspek yang disyaki terlibat dalam kes ini serta merampas beberapa barang.

“Tangkapan dilakukan semalam sekitar pukul 2 pagi hingga 6 petang di beberapa tempat di Sepang dan Petaling Jaya, Selangor dan Nilai. Kesemua barang-barang milik pengadu juga berjaya dirampas semula dalam serbuan yang dilakukan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Empat orang suspek telah direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 19 Disember ini manakala seorang lagi suspek direman selama empat hari mulai hari ini sehingga 17 Disember ini,” ujar Abdul Malik lagi.-UTUSAN.


https://www.utusan.com.my/berita/2023/12/polis-tahan-lima-lelaki-disyaki-terlibat-samun-di-nilai/
Pages: [1]
View full version: Polis tahan lima lelaki disyaki terlibat samun di Nilai


ADVERTISEMENT