mattzzx Publish time 11-12-2023 04:37 PM

Dua mangsa ditipu, rugi RM2.6 juta

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/12/IMG-20231211-WA0119.jpg
M. Kumar


JOHOR BAHRU: Walaupun sering disiarkan dalam pelbagai platform media tentang taktik sindiket penipuan, namun masih ada yang tertipu sehingga menyebabkan kerugian sehingga jutaan ringgit.

Terbaru, dua mangsa mengalami kerugian mencecah RM2.6 juta kerana tertipu dengan skim pelaburan tidak wujud dan penyamaran sebagai pihak berkuasa.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya menerima laporan daripada kedua-dua mangsa, Sabtu lalu dengan yang pertama merupakan seorang pengurus syarikat swasta berusia 44 tahun yang mengalami kerugian sebanyak RM1.06 juta.

“Mangsa mengakui melihat satu iklan pelaburan Yomaex Crypto Currency dalam Facebook sebelum menekan link disediakan dan berkomunikasi dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp. Tertarik dengan keuntungan dijanjikan, lelaki tersebut membuat pembayaran ke beberapa akaun bank, namun tidak mendapat wang keuntungan yang dijanjikan sebelum menyedari telah ditipu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mangsa kedua merupakan seorang wanita berusia 45 tahun yang bekerja sendiri dan mengalami kerugian sebanyak RM1.4 juta.

“Mangsa menerima panggilan daripada seorang individu mendakwa dari syarikat penghantaran. Suspek mendakwa mangsa mempunyai bungkusan yang mengandungi bahan terlarang. Pengadu kemudian disambung kepada seorang suspek lain yang memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai polis dan memaklumkan waran tangkap telah dikeluarkan.

“Disebabkan berasa takut, mangsa telah memasukkan sejumlah wang berkenaan kepada beberapa akaun diberikan suspek. Mangsa hanya menyedari ditipu setelah gagal menghubungi kembali nombor milik suspek,” jelasnya.

Justeru, Kumar menasihati orang awam supaya lebih berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya, khususnya dalam melakukan transaksi kewangan yang melibatkan pihak tidak dikenali.

“Sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, boleh hubungi talian National Scam Response Centre, iaitu 997 bagi menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun bank,” katanya. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/berita/2023/12/dua-mangsa-ditipu-rugi-rm2-6-juta/
Pages: [1]
View full version: Dua mangsa ditipu, rugi RM2.6 juta


ADVERTISEMENT