tari Publish time 10-12-2023 06:48 PM

'Saya jemput keluarga pemandu lori ziarah kami, jalin silaturahim'

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/nahas_1702203296.jpg
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Muar: "Kami tetap menjalinkan ukhuwah dan silaturahim dengan mereka (keluarga pemandu lori). Soal perundangan, biarlah ditentukan melalui perundangan," kata Mohd Hairul Nor Muhammad, 54.
Mohd Hairul adalah abang kepada Noorahimah Noor Muhamad, 43, yang maut bersama suami dan empat anak dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan pada 1 September lalu.
Menurutnya, keluarga mereka tetap menjaga silaturahim serta menganggap apa yang berlaku dalam tragedi hingga meragut nyawa enam insan tersayang adalah ketentuan Allah SWT.
Mohd Hairul berkata, dia baru saja berbual dengan kakak ipar serta isteri kepada pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan dengan adik, suaminya serta anak saudaranya.
"Kita kena ingat segala perkara yang berlaku itu semua Allah dah susun. Soal perundangan kita tinggalkan pada perundangan, biar dia buat kerja dia.
"Soal undang-undang itu soal lain tapi soal ukhuwah, silaturahim kita akan jaga. Insya-Allah saya pun rasanya sudah tahu di mana mereka tinggal.
"Saya menjemput keluarganya datang, kita tak ada masalah. Awal-awal lagi ketika benda ini (kemalangan) baru berlaku, mereka ada hubungi kami memberitahu mereka adalah keluarga pemandu lori.
"Dalam perbualan itu, mereka meminta mahu datang ziarah. Saya cakap datanglah, saya tak ada masalah, benda yang berlaku itu soal lain," katanya.
Pada masa sama, Mohd Hairul juga memberitahu, jika diizinkan oleh Allah dia berharap kedua-dua keluarga ini akan menjadi saudara.
Katanya, anak sulung arwah adiknya, Abdur Rahman Amir Ruddin, 19, sudah lama reda dengan kejadian menimpa ahli keluarganya.
"Bila saya tanya (Abdur) Rahman dia cakap tiada apa-apa malah reda dengan apa berlaku. Orang kata kalau hendak dilayan perasaan sampai bila-bila tak habis, sebab itu kita kena ada rasa reda tawakal, sabar dan syukur," katanya.
Dalam tragedi itu, enam daripada tujuh sekeluarga yang dalam perjalanan dari Kluang ke Segamat maut selepas Perodua Alza dinaiki dirempuh lori membawa muatan pasir.
Selain adik perempuan Mohd Hairul, turut terbunuh ialah abang iparnya yang juga suami kepada Noorahimah, Amir Ruddin Ismail, 46, serta empat anak mereka Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Hanya Abdullah, 15, yang terselamat dan keadaannya beransur pulih seperti sedia kala.
Kemalangan berlaku pada jam 6.37 petang itu membabitkan sebuah Honda HRV, Proton Wira, Perodua Alza, dan Perodua Bezza, serta sebuah lori bermuatan pasir.
Susulan kejadian itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 26 September lalu membatalkan lesen syarikat lori terbabit selepas siasatan dijalankan mendapati mereka gagal mematuhi syarat berkanun lesen di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat.
Siasatan APAD juga mendapati syarikat berkenaan melanggar syarat lesen Pemeriksaan dan Audit Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).sumber
Pages: [1]
View full version: 'Saya jemput keluarga pemandu lori ziarah kami, jalin silaturahim'


ADVERTISEMENT