tari Publish time 10-12-2023 04:35 PM

Johor cuti khas peristiwa Ahad depan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Id_obj48082803_1702118439.jpg

PEMAIN JDT meraikan kemenangan dengan menjulang piala Malaysia pada perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023 Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam. FOTO Aswadi Alias
Johor Bahru: Kerajaan negeri mengumumkan Ahad depan (17 Disember) sebagai cuti khas peristiwa sempena Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menjuarai Liga Super buat kali ke-10 dan Piala Malaysia 2023.
Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, satu sambutan meraikan peristiwa bersejarah itu akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, jam 8.30 malam, pada Sabtu depan, 16 Disember.
"JDT telah melakar sejarah gemilang bola sepak negeri Johor apabila menjuarai Liga Super Malaysia buat kali ke-10 berturut-turut.
"Ini suatu dekad dominasi kelab bola sepak JDT dalam kancah bola sepak negara.
"Menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan ini kerajaan negeri memutuskan untuk mengisytiharkan Ahad, 17 Disember sebagai hari cuti khas peristiwa bagi seluruh rakyat Johor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemberian cuti khas peristiwa itu bukan sahaja bertujuan untuk meraikan kejayaan gemilang JDT, tetapi sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada pihak yang terbabit serta rakyat Johor sendiri.
Ia kerana, katanya, rakyat Johor dan pihak lain yang terbabit sama sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada JDT untuk melakar sejarahnya yang tersendiri dalam arena bola sepak negara.
"Kita juga akan meraikan kejayaan JDT yang meraih kejayaan dalam menjulang trofi Piala Malaysia pada malam tadi.
"Keputusan pengisytiharan cuti khas peristiwa ini adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 ," katanya.
Semalam, JDT menewaskan Terengganu FC dengan 3-1 dalam aksi final Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus menyapu bersih empat piala yang dipertandingkan dalam kancah bola sepak Malaysia.
Sebelum ini, skuad Harimau Selatan berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super biarpun masih berbaki dua perlawanan.sumber
Pages: [1]
View full version: Johor cuti khas peristiwa Ahad depan


ADVERTISEMENT