mattzzx Publish time 9-12-2023 06:09 PM

Tiada kuota untuk wanita jadi juruterbang tempur TUDM

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/12/WhatsApp-Image-2023-12-09-at-2.53.35-PM.jpeg
MOHD Asghar Khan Goriman Khan memeriksa kawalan kehormatan Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 84/22 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 64/22 di KTU, Alor Setar. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN



ALOR SETAR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak menetapkan sebarang kuota bagi pengambilan juruterbang tempur dalam pasukan tersebut melibatkan pegawai wanita.

Menurut Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan, bagaimanapun penglibatan pegawai serta kadet wanitanya sebagai juruterbang itu terhad ekoran kegagalan mereka menguasai kriteria tertentu.

“Secara asasnya ada pengambilan untuk juruterbang dalam TUDM. Kita ada pengambilan wanita, ada pegawai-pegawai atau kadet-kadet tetapi untuk menjadi juruterbang mereka perlu lulus peperiksaan ketinggian dan juga kesihatan.

“Jadi peperiksaan kesihatan ini kadang-kadang sangat serius dan ada wanita tetapi ada yang gagal di dalam pemeriksaan kesihatan kerana perkara inidilaksanakan sangat terperinci. Semuanya tidak ada diskriminasi, siapa yang layak dan menepati syarat dan lulus dalam latihan mereka diterima,” katanya dalam sidang akhbar di Kolej Tentera Udara (KTU) di sini hari.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Penerbangan Siri 84/22 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 64/22.

Dalam majlis tersebut seramai 26 pelatih terdiri daripda 18 juruterbang pesawat sayap kaku dan lapan juruterbang helikopter menerima sayap penerbangan masing-masing.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya, pengambilan pegawainya dalam kalangan wanita itu juga mengikut keperluan ditetapkan daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Ada kemasukan pengambilan akan datang dalam kalangan graduan dan pegawai wanita tetapi kesudahannya daripada latihan ketenteraan yang kita beri ini iaitu selama sembilan bulan di penghujung kita akan mula buat latihan untuk fizikal dan juga pemeriksaan kesihatan dan juga ketinggian.

“Kita perlu membuat pemilihan secara terperinci untuk calon itu. Tidak ada kekangan mereka tetapi mereka perlu lulus pemeriksaan kesihatan dan ujian ketinggian diperlukan untuk melayakkan dia meneruskan atau menghadiri latihan penerbangan,” katanya.

Tambah beliau, TUDM bagaimanapun menggalakkan lebih ramai kaum wanita menyertai pasukan tersebut kerana peluang yang disediakan di pelbagai jabatan lain.

Dalam perkembangan lain, katanya, TUDM turut giat melatih juruterbangnya dengan teknologi baharu menjelang penerimaan pesawat tempur baharu, FA-50 daripada Korea Selatan menjelang 2026.

“FA-50 yang akan dibekalkan dengan teknologi yang lain daripada yang kita ada sekarang. Jadi dalam perancangan untuk pesawat FA-50 ini dari segi sumber manusia kita dalam proses menghantar pegawai-pegawai dan anggota-anggota untuk latihan. Ia untuk mereka menjalani segala aspek yang perlu untuk mengendalikan pesawat ini.

“Untuk program pesawat ini, pasukan yang terdiri daripada enam pegawai untuk menguruskan projek ini sudah berada di Korea Selatan. Projek ini sudah berjalan dan kita dijangkakan akan mendapat empat pesawat yang pertama pada Oktober 2026,” katanya.-UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasional/2023/12/tiada-kuota-untuk-wanita-jadi-juruterbang-tempur-tudm/
Pages: [1]
View full version: Tiada kuota untuk wanita jadi juruterbang tempur TUDM


ADVERTISEMENT