mattzzx Publish time 6-12-2023 02:11 PM

Pengurus bank didakwa pandu melulu, lawan arus hingga cetus kemalangan

https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhlulu_1701842050.jpg
Tertuduh, Teoh Mung Ni, 41, membuat pengakuan tidak bersalah atas tuduhan memandu secara melulu dengan melawan arus sehingga merempuh kereta lain di susur keluar Jambatan Pulau Pinang pada 2 Oktober lalu. - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli

GEORGETOWN: Seorang pengurus bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan memandu secara melulu dengan melawan arus sehingga merempuh kereta lain di susur keluar Jambatan Pulau Pinang pada 2 Oktober lalu.

Tertuduh, Teoh Mung Ni, 41, membuat pengakuan tidak bersalah itu, sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta BMW bernombor pendaftaran VDF 8229 secara melulu dan membahayakan orang ramai hingga berlaku pelanggaran dengan sebuah kereta Perodua Bezza bernombor PQQ 4091.

Wanita yang masih bujang itu, didakwa melakukan perbuatan terbabit pada jam 12.30 tengah malam pada 2 Oktober lalu.



Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda di antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil, manakala tertuduh diwakili peguam bela, K Mahendran.

Ketika prosiding, Syairah memohon mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 namun Mahendran merayu agar jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya itu berpendapatan RM5,000 sebulan selain perlu menanggung ibu serta bapa yang mengidap sakit kronik.

Mahendran turut meminta mahkamah mempertimbangkan kerjasama baik yang diberikan anak guamnya kepada pihak polis dalam ketika siasatan, selain hadir sendiri ke mahkamah hari ini.

Mohamad Azlan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Januari depan bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki berusia 22 tahun cedera selepas kenderaan dinaikinya dirempuh sebuah kereta dipandu secara melawan arus di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.

Mangsa dikatakan dirempuh pemandu BMW 5 Series iaitu seorang wanita yang dikesan memandu secara melawan arus dari arah pusat bandar.

Pemandu wanita itu didapati bebas daripada pengambilan alkohol pada hari kejadian, berpandukan analisis ujian sampel alkohol yang dihantar kepada Jabatan Kimia.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2023/12/1185855/pengurus-bank-didakwa-pandu-melulu-lawan-arus-hingga-cetus-kemalangan

swateng1 Publish time 6-12-2023 04:40 PM

aiyaaaa.. bawak bmw 5 series pun kategori tak mampu lagi ka???
Pages: [1]
View full version: Pengurus bank didakwa pandu melulu, lawan arus hingga cetus kemalangan


ADVERTISEMENT