mattzzx Publish time 6-12-2023 11:59 AM

Sivasangari disasar tembusi kelompok 10 terbaik dunia

https://assets.bharian.com.my/images/articles/sivasangari30n_1701782301.jpg
Sivasangari (kiri) ketika beraksi di Terbuka Hong Kong. - Foto ihsan SKUASY HONG KONG

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari diharap akan terus memperagakan prestasi yang konsisten bagi mencapai sasaran untuk menembusi ranking 10 terbaik dunia.

Sivasangari, 24, ketika ini berada di kedudukan ranking ke-15 dunia iaitu yang tertinggi dalam kerjayanya.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam menyifatkan kebangkitan dan pencapaian diraih Sivasangari pada musim 2023 cukup luar biasa mengambil kira dia tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan kompetitif selama lapan bulan selepas mengalami kemalangan jalan raya Jun tahun lalu.

"Apabila ranking semakin meningkat, anda dapati untuk sampai ke tahap itu adalah sukar dan mengekalkan kedudukan semasa juga sukar.



"Kejayaan Sivasangari menduduki ranking ke-15 adalah pencapaian terbaiknya mengambil kira fakta bahawa lapan bulan lalu dia tidak beraksi di mana-mana kejohanan.

"Dalam tempoh yang singkat, dia menepis segala keraguan menerusi kualiti permainannya. Cabaran seterusnya adalah untuk kekal di kedudukan itu dan untuk naik di kelompok 10 terbaik akan melalui proses yang perlahan.

"Jadi dia perlu fokus pada setiap perlawanan dan cabaran semakin sukar. Pemain lain juga akan menghadapi situasi sama," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Antara kejayaan Sivasangari musim ini adalah memenangi pingat emas berganda menerusi acara berpasuan wanita dan perseorangan wanita di Sukan Asia Hangzhou selain muncul juara Kejohanan Skuasy Terbuka Kelab Bola Sepak Hong Kong bulan lalu.

Dalam pada itu, Maniam memberitahu hasil JKK hari ini menyaksikan MSN sudah meluluskan sehingga 45 kejohanan pada tahun depan untuk atlet Program Podium serta pelapis.

"Daripada 45 kejohanan ini, setiap pemain boleh menyertai antara 10 hingga 12 kejohanan. Semua kejohanan ini adalah sebagai persiapan untuk jangka masa panjang seperti Sukan Asia dan Komanwel," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2023/12/1185631/sivasangari-disasar-tembusi-kelompok-10-terbaik-dunia
Pages: [1]
View full version: Sivasangari disasar tembusi kelompok 10 terbaik dunia


ADVERTISEMENT