Raline Publish time 6-12-2023 07:33 AM

4 Kejohanan penentu nasib Tze Yong

Edited by Raline at 6-12-2023 07:34 AM

4 Kejohanan penentu nasib Tze Yong

https://assets.bharian.com.my/images/articles/6xxtze_1701779880.jpg
Pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong. - BERNAMA


KUALA LUMPUR: Empat kejohanan awal musim 2024 pada Januari dijangka menjadi penentu nasib pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dalam misinya memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Tze Yong akan memulakan cabaran musim baharu bermula di Terbuka Malaysia dari 9 hingga 14 Januari diikuti Terbuka India (16 hingga 21 Januari), Masters Indonesia (23 hingga 28 Januari) dan Masters Thailand (30 Januari hingga 4 Februari).

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, berkata peluang lebih tinggi buat pemain ranking ke-15 dunia itu untuk mengesahkan tiket ke Paris sekiranya berjaya menghasilkan keputusan yang baik dalam keempat-empat kejohanan berkenaan.

Katanya, keputusan dalam empat kejohanan itu juga penting untuk dia melakukan perancangan buat Tze Yong bagi menyertai kejohanan seterusnya sebelum tamat pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik pada April depan.

"Dia sudah berjaya layak ke suku akhir, separuh akhir dan final, cuma belum menjadi juara. Kalau boleh menjadi juara, sudah tentu peluang beraksi di Olimpik menjadi lebih besar.

"Sementara ini, kita masukkan dulu nama (menyertai kejohanan). Jika empat kejohanan awal nanti hasilnya bagus, mungkin kita boleh kurangkan kejohanan-kejohanan akan datang," kata Hendrawan ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hendrawan yang juga bekas juara dunia menganggap Terbuka Perancis, Seluruh England (All England) dan Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang menjadi tiga aksi terakhir kelayakan Olimpik sebagai kejohanan penting buat Tze Yong.

"Untuk Mac nanti, dia juga akan menyertai kejohanan Terbuka Perancis dan All England yang boleh dikatakan sangat penting. Paling akhir (kelayakan Olimpik) nanti adalah Kejohanan Badminton Asia," katanya.

Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2023/12/1185619/4-kejohanan-penentu-nasib-tze-yong
Pages: [1]
View full version: 4 Kejohanan penentu nasib Tze Yong


ADVERTISEMENT