Raline Publish time 6-12-2023 07:30 AM

Young Tigers pesta gol belasah Chile

Young Tigers pesta gol belasah Chile


https://assets.bharian.com.my/images/articles/KEJOHANAN_PIALA_HOKI_REMAJA_DUNIA_2023_1701786519.jpg
Pemain Malaysia, Liau Alfarico diasak dua pemain Chile ketika skuad hoki remaja menentang Chile pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. - NSTP/AIZUDDIN SAAD


KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki remaja berpesta gol pada perlawanan pertama Piala Dunia Remaja selepas membelasah Chile 7-1 sebentar tadi.

Beraksi di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, skuad Young Tigers tampil dengan aksi penuh meyakinkan dalam aksi sulung Kumpulan A itu.

Penyerang negara, Muhammad Harris Iskandar Osman menceriakan kira-kira 3,000 penonton yang hadir apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi gerakan daripada pukulan sudut penalti sebelum Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar meledak gol padang pada minit ke-23.

Malaysia yang dibimbing Muhamad Amin Rahim mempunyai beberapa peluang untuk menambah jaringan di babak pertama tetapi gagal menemui penyudah dan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, skuad negara tersentak seketika apabila dikejutkan dengan jaringan daripada pasukan lawan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Sebastian Wolansky pada minit ke-34.

Bagaimanapun, anak buah Amin kembali 'mengganas' selepas itu apabila meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti yang masing-masing disempurnakan Andywalfian Jeffrynus pada minit ke-36 diikuti Azmilmuizzuddin Misron (39) sebelum Mohamad Shamir Rizmi Shamsul menjaringkan gol kelima pada minit ke-41.

Penyerang negara, Shamie Irfan Suhaimi menutup malam gemilang Malaysia dengan penuh bergaya apabila meledak dua gol buat pasukan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-47 dan penalti strok lapan minit kemudian.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Young Tigers mendapat tonik terbaik menjelang aksi kedua menentang juara bertahan, Argentina, malam esok.

Terdahulu, Argentina bergelut sebelum melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Australia dalam pada aksi pertama mereka yang berlangsung petang tadi.

Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/12/1185652/young-tigers-pesta-gol-belasah-chile

Pages: [1]
View full version: Young Tigers pesta gol belasah Chile


ADVERTISEMENT