Raline Publish time 6-12-2023 07:29 AM

Jangan terlalu hormat Argentina

Jangan terlalu hormat Argentina

https://assets.bharian.com.my/images/articles/photo1701787317_1701789480.jpg
Pemain Malaysia, Shahmie Irfan Suhaimi (tengah) meraikan jaringannya ketika menentang Chile pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. - NSTP/AIZUDDIN SAAD


KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki remaja negara diingatkan supaya tidak terlalu menghormati Argentina menjelang pertemuan dengan lawan itu pada aksi kedua Kumpulan A Piala Dunia Remaja di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Ketua jurulatih negara, Muhamad Amin Rahim, berkata meskipun Argentina tampil dengan reputasi selaku juara bertahan dan pasukan nombor satu dunia, namun dia optimis anak buahnya mampu memberikan saingan sengit kepada lawan itu.

"Saya percaya dengan kemampuan yang dimiliki pemain saya. Kita tidak perlu terlalu menghormati Argentina.

"Kita tahu mereka adalah juara bertahan dan ada kekuatan yang tersendiri tetapi pasukan sekarang tidaklah sehebat seperti di Bhubaneswar, India (Piala Dunia Remaja 2021).

"Berdasarkan peningkatan prestasi yang ditunjukkan barisan pemain saya, saya percaya kami ada kemampuan untuk memberikan saingan sengit kepada Argentina malam esok," kata Amin ketika sidang media selepas Malaysia membelasah Chile 7-1 pada aksi pertama, malam tadi.

Mengulas mengenai kemenangan besar dilakar anak buahnya ke atas Chile, Amin enggan pemainnya terus dibuai mimpi indah sebaliknya perlu kekal fokus bagi menghadapi aksi penting bertemu Argentina yang menawarkan tiket awal ke suku akhir jika berjaya memenangi perlawanan.

"Dari aspek pukulan sudut penalti dan jaringan padang, saya berpuas hati dengan kedua-duanya. Namun, sudah tentu ada beberapa kelemahan yang perlu kami perbaiki dan harap ia tidak berulang dalam perlawanan esok," katanya.

Terdahulu, Argentina bergelut sebelum melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Australia dalam pada aksi pertama mereka yang berlangsung petang tadi.

Mereka terpaksa menunggu sehingga minit akhir permainan bagi menembusi kubu pertahanan Australia menerusi jaringan Ignacio Nardilillo yang meledak gol padang.

Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/12/1185670/jangan-terlalu-hormat-argentina

Pages: [1]
View full version: Jangan terlalu hormat Argentina


ADVERTISEMENT