Rice wira Arsenal kecewakan Luton
Rice wira Arsenal kecewakan Lutonhttps://assets.bharian.com.my/images/articles/senal612a_1701816169.jpg
Pemain Arsenal, Declan Rice meraikan gol keempat dan kemenangan mengatasi Luton Town 4-3 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Kenilworth Road, Luton sebentar tadi. – Foto REUTERS
LUTON, England: Tandukan Declan Rice pada masa kecederaan memastikan kemenangan mendebarkan 4-3 buat Arsenal ke atas Luton Town untuk melonjakkan mereka lima mata di depan dalam carta Liga Perdana Inggeris sebentar tadi.
Masa semakin suntuk apabila Rice menemui ruang untuk melonjak tinggi dan menanduk masuk ke gawang gol dengan sentuhan terakhir perlawanan, mencetus kegembiraan buat pelawat dan kekecewaan buat Luton.
Tiada apa yang berlaku bagi 20 minit pertama di Kenilworth Road tetapi perlawanan itu semakin hidup apabila Gabriel Martinelli merembat masuk hantaran Bukayo Saka untuk meletakkan Arsenal di depan.
Luton membalas lima minit kemudian apabila Gabriel Osho menanduk kencang melepasi David Raya susulan sepakan sudut Alfie Doughty.
Saka dan Martinelli kedua-duanya dinafikan oleh kecekapan penjaga gol Thomas Kaminski tetapi Arsenal mendahului semula sejurus sebelum rehat dengan Gabriel Jesus menanduk masuk dari jarak dekat.
Luton mengejutkan Arsenal apabila Elijah Adebayo menanduk masuk satu lagi sepakan sudut pada minit ke-49 sebelum Andros Townsend mengumpan kepada pemain antarabangsa England, Ross Barkley lapan minit kemudian untuk merembat leret di bawah kelangkang Raya.
Stadium lama itu bergegar namun kegembiraan Luton tidak lama apabila Kai Havertz menyamakan kedudukan selepas sejam sebelum Rice memastikan Arsenal pulang dengan tiga mata pada minit ketujuh masa kecederaan. – REUTERS
Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2023/12/1185686/rice-wira-arsenal-kecewakan-luton
Pages:
[1]