mattzzx Publish time 5-12-2023 03:09 PM

Jadikan kesilapan sebagai pengajaran - Sabri

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Rahadiazli_Rahalim_1701754618.jpg
RAHADIAZLI perlu bangkit daripada kesilapan. FOTO GHAZALI KORI

Kuala Terengganu: "Jadikan kesilapan itu sebagai pengajaran untuk lebih matang dan berdaya saing," kata Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas.

Kata-kata yang diungkapkan oleh orang nombor satu kelab itu ditujukan khas kepada penjaga gol berbakat besar Terengganu FC (TFC), Muhammad Rahadiazli Rahalim terutama menjelang saingan final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Jumaat ini.

Pada aksi Liga Super menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Ahad lalu, kesilapan penjaga gol nombor dua skuad Penyu itu yang tersilap langkah membaca pergerakan bola sebelum bertembung dengan pemain lawan ternyata mengundang padah selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan.

Malah lebih menyedihkan sepakan itu diberikan kepada skuad Harimau Kumbang ketika perlawanan berbaki beberapa saat sebelum ditiupkan pengadil perlawanan, Mohd Fairuzi Mat Desa sekali gus menyaksikan anak buah Tomislav Steinbruckner kempunan untuk membawa pulang mata penuh selepas terikat 1-1.



Mengulas lanjut, Mohd Sabri yang baharu dinaikkan pangkat ke jawatan itu berkata, biarpun jelas kesilapan dilakukan penjaga gol muda itu, namun secara keseluruhan pemain kelahiran Setiu itu beraksi cemerlang dengan menangkis beberapa percubaan bahaya dalam perlawanan itu.

"Kesilapan tidak harus diletakkan kepada penjaga gol muda itu 100 peratus, dia sudah beraksi cemerlang dalam perlawanan itu sehingga kita berjaya membawa pulang satu mata di tempat lawan.

"Saya harap peminat tidak menghamburkan kata-kata kesat kepadanya, sebaliknya memberikan kata-kata semangat terutama menjelang perlawanan akhir bagi merebut trofi Piala Malaysia yang berbaki tiga hari sahaja lagi.

"Ini kerana dia antara pemain yang bakal disenaraikan ketua jurulatih pada aksi final itu selain penjaga gol berpengalaman, Suhaimi Husin, kita harap semangat pemain itu tidak luntur kerana pada bila-bila masa sahaja bakal digantikan jika berlaku sesuatu kepada Suhaimi.

"Pada masa sama saya harapkan penjaga gol kebangsaan berketinggian 1.92 meter itu dapat meningkatkan lagi kualiti permainan kerana dia antara prospek penjaga gol utama kebangsaan satu hari nanti," katanya.

Pertembungan dua pasukan itu dijangka menarik dan bagaikan ulangan final Piala FA pada musim lalu yang dimenangi JDT hasil kemenangan 3-1, ketika itu Rahadiazli berada dalam kesebelasan utama pasukan.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2023/12/1037343/jadikan-kesilapan-sebagai-pengajaran-sabri
Pages: [1]
View full version: Jadikan kesilapan sebagai pengajaran - Sabri


ADVERTISEMENT