mattzzx Publish time 5-12-2023 02:59 PM

Dipanah petir, mangsa cerita detik kejadian

https://assets.bharian.com.my/images/articles/petirsatu_1701758578.jpg
Nor Lelawati berehat di rumahnya selepas insiden dipanah petir di Kampung Permatang Kerisek, Simpang Empat, Kangar. - NSTP/AIZAT SHARIF

KANGAR: "Saya terasa seolah-olah dihentak dari belakang sehingga jatuh tertiarap," kata penyemai benih padi, Nor Lelawati Abu Bakar, 39, yang trauma selepas dipanah petir bersama anaknya di Kampung Permatang Kerisek, Simpang Empat, di sini, semalam.

Nor Lelawati, 39, berkata kejadian itu yang turut menimpa anaknya, Muhamad Azizul Jaafar, 8, berlaku dengan pantas dalam keadaan cuaca hujan renyai kira-kira jam 7 malam.

Beliau memaklumkan ketika itu, mereka sedang berjalan pulang selepas mengambil anak sulungnya yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia 15 tahun di kediaman jiran yang terletak kurang 50 meter (m) dari rumah mereka.




https://assets.bharian.com.my/images/articles/petirdua_1701758623.jpg
Che Muhammad menunjukkan lokasi dua beranak dipanah petir berhampiran kediaman mereka di Kampung Permatang Kerisek, Simpang Empat, Kangar. - NSTP/AIZAT SHARIF

"Pada masa itu, hujan renyai-renyai dan kami bertiga hendak pulang ke rumah. Ketika melalui denai antara pokok asam jawa dan pokok gonchar, tiba-tiba saya terdorong ke hadapan dan terasa seolah-olah dihentak dengan benda berat dari belakang.

"Badan saya terasa sangat panas ketika itu. Sebelum pengsan, saya hanya nampak Muhamad Azizul turut jatuh tertiarap tidak sedarkan diri berhampiran saya, manakala seorang lagi anak cuba menggerakkan dan memanggil saya," katanya ketika ditemui di kediaman mereka, hari ini.

Menceritakan lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, anak sulungnya kemudian segera mendapatkan suami beliau, Jaafar Saidin, 65, dan beberapa pekerja tapak semaian berhampiran rumah mereka untuk bantuan.

"Saya hanya tersedar ketika berada di dalam kereta suami sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar.

"Malah, saya diberitahu bahawa Muhamad Azizul juga tidak sedarkan diri dan hampir keseluruhan badannya melecur. Mujur dia kembali bernafas ketika sebuah lagi kereta yang membawanya pula hampir tiba di hospital," katanya.

Akibat insiden itu, Nor Lelawati disahkan mengalami trauma tanpa kecederaan serius, manakala anaknya melecur 25 peratus di bahagian badan terutama sekitar leher, perut dan kaki kiri.

Disebabkan kecederaan serius yang dialami, Muhamad Azizul terpaksa ditidurkan semula sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, untuk menjalani pemeriksaan lanjut oleh pakar kulit, awal pagi tadi.

Muhamad Azizul dilaporkan kini berada dalam keadaan stabil, namun Nor Lelawati masih berasa sakit pada bahagian dada, terutama ketika bernafas.

Sementara itu, saksi kejadian yang juga abang Muhamad Azizul daripada ibu lain, Amirizal Jaafar, 32, dan rakan, Che Muhammad Che Natt, 34, berkata ketika kejadian, mereka sedang menghabiskan kerja membetulkan atap di kilang membakar sekam yang terletak tidak jauh dari kediaman mangsa.

"Kami ternampak cahaya putih menyambar kawasan yang dilalui mereka, diikuti bunyi dentuman seperti letupan mercun pertunjukan.

"Selepas itu, kami melihat kedua-dua mangsa rebah bergelimpangan di perdu antara pokok asam jawa dan pokok gonchar di laluan berkenaan," katanya.

Amirizal bersama Che Muhammad kemudian segera mengangkat mangsa untuk dikejarkan ke hospital, dan memaklumkan ada terhidu bau hangit pada badan Muhamad Azizul.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/12/1185476/dipanah-petir-mangsa-cerita-detik-kejadian
Pages: [1]
View full version: Dipanah petir, mangsa cerita detik kejadian


ADVERTISEMENT