Jangan rasa kerdil bertemu JDT – Zulharisham
https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/12/Ganu-Zulharisham.jpgZULHARISHAM Awang (duduk, tiga dari kanan) bersama skuad emas Terengganu di bawah kendalian Mat Zan Mat Aris yang muncul juara Piala Malaysia pada tahun 2001.
KUALA NERUS: “Jangan gentar dan berjuang sehingga wisel penamat.” Itu pesanan bekas ketua pasukan, Zulharisham Awang kepada pemain Terengganu FC (TFC) menjelang final Piala Malaysia, Jumaat ini.
Zulharisham, 48, merupakan kapten skuad generasi emas Terengganu yang kali terakhir menjulang trofi Piala Malaysia pada 2001 menewaskan Perak 2-1.
Menurutnya yang terkenal dengan jolokan ‘kereta kebal’, skuad Penyu, barisan pemain TFC di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner memiliki peluang seimbang bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).
Zulharisham berkata, pemain TFC tidak harus berasa kerdil atau gentar meskipun skuad Harimau Selatan turun dengan reputasi gergasi bola sepak negara dan bertaraf jaguh peringkat Asia.
“Semua tahu kualiti yang dimiliki JDT dengan senarai pemain yang serba lengkap di semua posisi, tetapi itu bukan alasan untuk TFC mengalah sebelum masuk ke gelanggang.
“Tiada yang mustahil dalam bola sepak kerana kita turun 11 lawan 11 pemain, malah TFC ada kualiti tersendiri kerana hanya pasukan terbaik beraksi di pentas akhir, jadi buktikan kemampuan pasukan kita.
“Pemain-pemain juga harus kekal berjuang selagi wisel penamat belum ditiupkan dan ambil semangat 22 tahun lalu ketika kami bangkit dari ketinggalan sebelum muncul juara,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Zulharisham, tempoh beberapa hari sebelum sepak mula dengan JDT harus dimanfaatkan pengendali untuk memastikan pemain berada pada tahap kecergasan terbaik.
Ujarnya, perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu nanti mungkin berlanjutan ke masa tambahan atau penentuan penalti bagi menentukan pemenang sekaligus menuntut lebih 100 komitmen daripada pemain.
Tambah Zulharisham, penjaring terbanyak, Ivan Mamut, pemain sayap, Sony Norde, kapten Habib Haroon serta bek tengah, Shahrul Nizam Roshasni dilihat menjadi tunjang skuad TFC musim ini.
“Empat pemain itu perlu berfungsi dengan baik bagi menggerakkan jentera tengah dan serangan TFC manakala Shahrul Nizam merupakan antara pertahanan terbaik tempatan sejak dua tahun lalu.
“Selain itu, penjaga gol juga perlu yakin menghadapi ketajaman penyerang JDT yang pasti turun memburu gol awal,” katanya yang kini bergelar jurulatih kepada pasukan bola sepak sebuah universiti di sini. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/sukan/2023/12/jangan-rasa-kerdil-bertemu-jdt-zulharisham/
Pages:
[1]