mattzzx Publish time 26-11-2023 02:36 PM

Bomba kita bukan 'jaguh kampung' la, kita menang di Singapura

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm271jagoh_1700977813.jpg
JBPM rangkul gelaran johan dan naib johan dalam dua acara utama pada Firefighter and Paramedic Challenge 2023.

Kuala Lumpur: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merangkul johan dan naib johan dalam dua acara berbeza pada Cabaran Bomba dan Paramedik 2023 di Changi, Singapura, semalam.

Penguasa Kanan Bomba Satu (PgKB I) Cawangan Pengurusan Pasukan Penyelamat, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Alimaddia Bukri berkata, kemenangan itu cukup bermakna biarpun berdepan saingan sengit dari negara yang bertanding selain kelengkapan dan kenderaan hebat dimiliki mereka.

Menurutnya, pencapaian diraih juga membuktikan pasukan negara bukan jaguh kampung.

"Kita bersaing dengan negara yang bukan calang-calang, yang kelengkapan latihan dan kenderaan untuk dipotong cukup. Mereka ada banyak kenderaan untuk menjalani latihan. Kita cuma berdasarkan latihan termasuk memotong kereta. Tetapi kereta kita tidak sebanyak mereka serta tiada fasiliti seperti mereka.



"Kami cuba sedaya upaya berbekalkan pengalaman yang ada selain bantuan jurulatih. Ia sebenarnya atas pertolongan daripada Allah SWT.

"Apabila diumumkan menang, kami kelu. Rasa bersyukur dan bangga kerana kita bawa nama negara, jabatan dan kementerian. Alhamdulillah, kita berjaya membawa kejuaraan ini kepada Malaysia dan membuktikan kita bukan sekadar jaguh Kampung. Kita juga mampu berjaya di peringkat antarabangsa," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kesemua pegawai dan anggota dipilih berdasarkan kebolehan, mempunyai kemampuan fizikal yang tinggi, teknikal tinggi dan berpengalaman.

"Kita sudah beberapa kali menyertai pertandingan ini. Biasanya kita memang akan mendapat tempat, malah pernah juara juga. Alhamdulillah, pada tahun ini, kita dapat semula kejuaraan.

"Kita juga pilih pegawai dan anggota yang berkebolehan, mempunyai kemampuan fizikal yang tinggi, teknikal tinggi dan pengalaman.

"Dalam erti kata lain, saya boleh andaikan mereka ini bukan 'kuda latihan' tetapi memang 'kuda perang'. Jadi, memang tiada masalah untuk kita bawa 'bertempur' kerana mereka antara yang terbaik," katanya.

Menurutnya, mereka menjalani latihan selama dua minggu sebelum menyertai pertandingan.

Pada masa sama, menurutnya, pihaknya juga mengenal-pasti beberapa kelemahan untuk diperbaiki pada pertandingan akan datang.

"Kita juga akan cuba mendapatkan ilmu tambahan daripada pihak luar kerana ada perkara yang mungkin kita kurang pakar.

"Sesungguhnya, kehendak sebenar kejohanan seperti ini adalah untuk masyarakat. Pengajaran yang kita dapat daripada pertandingan ini boleh kita digunakan dalam operasi sebenar, Insya-Allah," katanya.

Pada pertandingan itu, JBPM muncul juara pada acara 'Rip It Off' (kumpulan) dengan menewaskan 'Singapore Civil Defence Force' (Singapura), 'Australia Fire Rescue Services' (Australia), 'Macau Fire Rescue Services' (Macau) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Malaysia) dalam perlawanan akhir.

Bagi acara 'Braveheart', JBPM berjaya meraih tempat kedua selepas ditewaskan oleh Singapore Civil Defence Force.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/11/1034257/bomba-kita-bukan-jaguh-kampung-la-kita-menang-di-singapura
Pages: [1]
View full version: Bomba kita bukan 'jaguh kampung' la, kita menang di Singapura


ADVERTISEMENT