mattzzx Publish time 25-11-2023 12:09 PM

Kecederaan ganggu persiapan Speedy Tigers

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/11/Faizal-Saari.jpg
FAIZAL dijangka kembali menyertai sesi latihan Isnin ini selepas pulih daripada kecederaan sebelum menghadapi Jelajah New Zealand bulan depan.

PERSEDIAAN skuad hoki lelaki negara untuk menghadapi aksi Kelayakan Olimpik di Muscat, Oman bermula 15 hingga 21 Januari tahun depan sedikit terjejas disebabkan masalah kecederaan yang dialami ramai pemain ketika ini.

Ketua jurulatih Speedy Tigers, A. Arul Selvaraj terpaksa akur kerana situasi itu di luar kawalannya termasuklah beliau hanya dapat menggunakan khidmat 11 pemain dan tiga penjaga gol sewaktu sesi latihan kelmarin.

Disebabkan itu, Arul tidak dapat memberi gambaran jumlah sebenar pemain akan dibawanya ke New Zealand pada 6 Disember ini untuk lima aksi persahabatan menentang Black Sticks dan satu dengan Korea Selatan di sana.

“Kecederaan memang jelas ada ganggu persediaan sebab kita tak boleh buat banyak perkara sebagai satu pasukan. Semalam pun saya terpaksa ubah perancangan sebab bila­ngan (pemain) kurang.

“Sepatutnya ada 14 pemain padang tetapi awal-awal pagi saya dapat mesej Muhajir (Abdu Rauf) dan Ashran (Hamsani) sakit. Tak boleh tidur, muntah, sakit, jadi saya terpaksa tukar pelan (latihan).

“Besar kemungkinan Faizal (Saari), Norsyafiq (Sumantri) dan Adudu (Amirul Hamizan Azahar) boleh sertai pasukan bermula Isnin ini. Shahril (Saabah) dan beberapa pemain lagi mungkin perlukan seminggu lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Arul tidak panik kerana percaya semua isu kecederaan dan kecergasan dialami para pemainnya akan selesai sepenuhnya sebelum mereka berlepas ke Oman me­rebut tiga tiket ditawarkan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Di Oman, Speedy Tigers yang berada di ranking ke-12 dunia, akan menentang Great Bri­tain, Pakistan dan China dalam ­saingan Kumpulan A, manakala Kumpulan B terdiri daripada Jerman, New Zealand, Kanada serta Chile.
https://www.kosmo.com.my/2023/11/25/kecederaan-ganggu-persiapan-speedy-tigers/
Pages: [1]
View full version: Kecederaan ganggu persiapan Speedy Tigers


ADVERTISEMENT