mattzzx Publish time 23-11-2023 05:48 PM

5,413 aduan salah laku membabitkan pegawai, anggota polis

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/bfreer_1700729663.jpg
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Sebanyak 5,413 aduan berhubung salah laku dan kesalahan integriti diterima Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sejak Januari sehingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, melalui aduan yang diterima 4,497 subjek membabitkan pegawai polis.

"Daripada jumlah itu, 2,841 aduan atau 52.48 peratus adalah berkaitan salah laku di bawah kategori integriti.

"Manakala bagi kes membabitkan tangkapan, tuduh dan sabitan yang dikenakan terhadap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh sama, 121 orang ditangkap, tuduh (26) dan sabit kesalahan (14)," katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C Sempena Sambutan Bulan Integriti 2023 di Maktab PDRM di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad.

Bagi tempoh sama juga, beliau berkata, seramai 196 warga PDRM ditahan membabitkan kes penyalahgunaan dadah.

Katanya, seramai 623 pegawai polis ditahan kerja manakala 156 pula digantung kerja.

"Apa yang jelas, kita (PDRM) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit aktiviti salah laku yang boleh menjatuhkan nama baik serta maruah pasukan," katanya.

Dalam majlis itu, Razarudin turut menyerahkan surat penghargaan tolak rasuah kepada 29 pegawai dan anggota polis seluruh negara.

Tambah beliau, walaupun pelbagai cerita salah laku warga PDRM disiarkan di media sosial, namun masih terdapat pegawai yang mempunyai integriti tinggi dan menolak rasuah.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/11/1033353/5413-aduan-salah-laku-membabitkan-pegawai-anggota-polis
Pages: [1]
View full version: 5,413 aduan salah laku membabitkan pegawai, anggota polis


ADVERTISEMENT