mattzzx Publish time 22-11-2023 12:57 PM

Letak syarat untuk beli minyak, peruncit didenda RM30,000

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/mahkamah_court_1700624974.jpg
GAMBAR hiasan

Johor Bahru: Seorang peruncit di Jementah, Segamat didenda RM30,000 selepas meletakkan syarat supaya pembeli membeli barangan berjumlah RM30 ke atas bagi melayakkan mereka membeli dua paket minyak masak bersubsidi, di kedainya 7 Oktober lalu.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata keputusan itu dibuat Mahkamah Sesyen Segamat semalam, selepas agensi itu mendakwa peruncit berkenaan atas kesalahan berkenaan.

"Seorang peruncit di Jementah, Segamat, didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Segamat semalam berikutan mengenakan syarat bagi penjualan barang kawalan iaitu minyak masak paket bersubsidi kepada pelanggannya.

"Peruncit berkenaan mengenakan syarat hanya pelanggan yang membeli barangan lain berharga RM30 ke atas di premis berkenaan saja dibenarkan membeli minyak masak satu kilogram (kg) untuk dua paket.



"Manakala bagi pembelian di bawah RM30 hanya dibenarkan membeli minyak masak paket satu kg sebanyak satu paket saja, yang mana syarat jualan itu tidak dibenarkan oleh Pengawal Bekalan.

"Hakim Rahimah Abd Majid menjatuhkan hukuman denda RM30,000 selepas peruncit berkenaan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Lilis Saslinda berkata, seorang lagi pemilik kedai runcit di Segamat itu turut didenda RM40,000 kerana menjual barang dagangan palsu membabitkan jenama penjagaan diri terkenal.

Katanya, peruncit berkenaan melakukan kesalahan berkenaan pada 22 Disember tahun lalu susulan serbuan dibuat anggota KPDN.

"Pertuduhan adalah di bawah Akta Cap Dagangan 2019, diambil tindakan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019, iaitu ada dalam milikan, jagaan dan kawalannya barangan menggunakan cap dagangan palsu bagi tujuan perdagangan bagi produk jenama terkenal tempatan di mana jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sehingga RM8,000," katanya.

Lilis Salinda turut meminta Orang ramai untuk menyalurkan maklumat yang lengkap dan spesifik berhubung sebarang perlakuan yang mencurigakan membabitkan barang bersubsidi kepada KPDN melalui saluran yang disediakan.

"Aduan boleh dibuat sama ada ke 1800 886 800, 03-8882 6245 / 6088, WhatsApp KPDN iaitu 019 - 279 4317, e-aduan@kpdn.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU atau mana-mana lapan pejabat KPDN di seluruh Johor," katanya.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/11/1032781/letak-syarat-untuk-beli-minyak-peruncit-didenda-rm30000
Pages: [1]
View full version: Letak syarat untuk beli minyak, peruncit didenda RM30,000


ADVERTISEMENT