Raline Publish time 20-11-2023 07:08 AM

Perak juara Piala Tun Ali 2023

Perak juara Piala Tun Ali 2023


https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2023-11-19_at_20.47.23_1700399594.jpg
Perak muncul juara Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali di Bukit Serindit. - NSTP/NAZRI ABU BAKAR


MELAKA: Perak muncul juara Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada aksi final di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bukit Serindit, di sini, malam ini.

Perak yang diperkuat tekong import kelahiran Thailand, Jakkrit Thinbangbon serta dua pemain kebangsaan, Muhammad Mohd Noraizat Mohd Nordin (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) bagaimanapun tewas 24-25 pada set pertama.

Namun mereka bangkit pada set kedua 21- 7 untuk mengheret aksi ke tie-break bagi penentuan juara buat edisi kedua kejohanan berpestij yang disertai 23 pasukan terbabit.

Walaupun mendapat sokongan gemuruh daripada penyokong Negeri Sembilan yang hadir namun skuad terbabit yang dibarisi Muhammad Haziq Hairl Nizam (tekong) Muhamad Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan Zuleffendi Sumari (kiri) gagal untuk terus memberi tekanan kepada Perak dan tewas 13-21 pada set penentuan.


Selaku juara, Perak meraih RM10,000 bersama piala pusingan dan iringan sementara Negeri Sembilan membawa pulang RM5,000 manakala tempat ketiga menjadi milik bersama Johor dan Kuala Lumpur dengan masing-masing meraih RM3,000.

Mengulas kejayaan itu, jurulatih Perak, Mohd Azafril Mohd Anuar turut bangga dengan persembahan terbaik sepenjang kejohanan walaupun cuba dicabar hebat semua lawan terutama Negeri Sembilan di final.

Katanya, Negeri Sembilan diakui sebagai pasukan kuat sehingga anak buahnya mengalami kekalahan pada set pertama namun mereka bangkit untuk mencipta kejayaan di set penentuan.

Acara beregu pula PDRM muncul juara buat kali pertama selepas mengatasi kelab dari Thailand Phitsanulok TC 21-23, 21-19 dan 21-15 dalam aksi sengit dan mendebarkan.

Juara meraih RM8,000 dan naib juara RM4,000 sementara tempat ketiga diraih bersama Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dengan masing-masing meraih RM2,000.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.


Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/11/1179010/perak-juara-piala-tun-ali-2023

Pages: [1]
View full version: Perak juara Piala Tun Ali 2023


ADVERTISEMENT