Raline Publish time 16-11-2023 07:11 AM

Dian Sastrowardoyo Tak bersosial enam bulan

Tak bersosial enam bulan




https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo1699895538_1700086453.jpg
PERLU pamer watak cukup berani, tetapi lemah lembut dalam drama bersiri Gadis Kretek.


HIDUP ini adalah satu perjuangan yang menuntut pengorbanan serta ketabahan. Tidak semua hal yang diimpikan mampu dicapai dengan mudah tanpa usaha dan masa yang perlu dikorbankan.

Begitu yang dirasai pelakon handalan Indonesia, Dian Sastrowardoyo ketika menghidupkan watak Dasiyah atau Jeng Yah iaitu wanita berjiwa patriotik pada era industri tembakau di Indonesia pada era 1960-an dalam drama bersiri Gadis Kretek.

Jelas terpancar karakter yang teguh dan berani dalam diri pelakon filem Ada Apa Dengan Cinta itu ketika mendalami watak Jeng Yah yang terkenal dengan banyak pengorbanan.

Tampil dengan imej berkebaya tradisional yang melambangkan jati diri kemanisan wanita Jawa, Dian nyata berjaya menghidupkan watak itu dengan baik walaupun terpaksa melalui pelbagai onak duri.

"Filem ini benar-benar mencabar kredibiliti saya sebagai pelakon. Watak Jeng Yah menuntut saya menjadi wanita berhati waja, sekali gus menandingi pesaing industri tembakau era 60-an yang didominasi lelaki.

"Demi menghidupkan watak ini saya berhenti berjumpa teman dan tidak bersosial selama enam bulan. Malah, sepanjang tempoh itu saya juga tidak melakukan aktiviti olahraga, berlari atau bermain tenis yang sangat saya gemari.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo1699895538%281%29_1700086456.jpg
DIAN pegang watak sebagai Dasiyah dalam Gadis Kretek.


"Semuanya kerana saya mahu berlatih menjiwai cara dan tertib pergerakan wanita pada zaman itu termasuk tidak lagi mendengar muzik moden, sebaliknya tertumpu kepada gamelan dan irama klasik.

"Saya banyak berlatih sendirian di rumah dan berdisiplin sehingga langsung tidak membuka televisyen selain tidak memegang telefon ketika berlatih," katanya.

Seperti yang dijangka, Gadis Kretek yang kini ditayangkan di platform penstriman Netflix berjaya mencipta fenomena luar biasa dan rata-rata begitu mengagumi lakonan mantap serta kemas daripada setiap pelakon.

Menurut wanita berusia 41 tahun itu, walaupun tertekan dengan watak yang dilakonkan itu, tapi setiap permintaan yang diinginkan pengarah, Kamila Andini cuba direalisasikan seperti memintanya menjadi wanita yang kuat walaupun wataknya cukup lembut termasuk cara bercakap.

Namun, ada satu hal yang lebih mencabar perlu dilakukan iaitu melakukan ciri khas watak Jeng Yah yang jarang berkedip saat berbicara dengan orang lain.

"Bayangkan saya perlu hadkan diri saya daripada berkedip sedangkan saya bila melontarkan satu ayat paling banyak berkedip. Sementara Jeng Yah digambarkan sebagai wanita yang cukup tenang.

"Dalam novel tulisan Ratih Kumala itu, digambarkan apabila Dasiyah memasuki sesuatu ruangan, dia seperti ada magis, begitu juga ketika berbicara dia seolah-olah hipnosis semua yang ada di hadapannya.

"Jadi, bayangkan bagaimana saya nak satukan setiap ciri-ciri khas ini dalam filem ini. Ia bukan satu tugas mudah, tapi saya cuba menunaikan setiap permintaan itu dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Dian begitu teruja saat berkongsi maklum balas dan penerimaan penonton ketika Gadis Kretek ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Busan pada Oktober lalu.

"Hati berbunga mendengar maklum balas penonton di festival gah itu yang menyatakan Gadis Kretek bukan kisah cinta biasa antara anak pengusaha kretek, Dasiyah dan pemuda bernama Soeraja.

"Pertemuan dua insan berbeza latar belakang itu membawa kepada kisah cinta yang disulami peristiwa bersejarah dengan akhirnya membentuk perjalanan hidup berbeza," katanya.

Selain Dian, ia turut dibintangi Ario Bayu, Putri Marino dan Arya Saloka.

SUMBER:https://www.hmetro.com.my/rap/2023/11/1030625/tak-bersosial-enam-bulan

Pages: [1]
View full version: Dian Sastrowardoyo Tak bersosial enam bulan


ADVERTISEMENT