mattzzx Publish time 12-11-2023 02:32 PM

Timbalan Panglima Armada Timur TLDM dilantik Naib Pengerusi SCUFN

https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhtldm11_1699708060.jpg
Timbalan Panglima Armada Timur, Laksamana Pertama Dr Najhan Md Said. - Foto TLDM

KUALA LUMPUR: Timbalan Panglima Armada Timur, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Pertama Dr Najhan Md Said dilantik Naib Pengerusi Sub-Committee Undersea Features Name (SCUFN) bagi penggal 2024-2008.

Pelantikan beliau melalui proses undian yang dilaksanakan dalam Mesyuarat ke-36 SCUFN di Wollongong, Australia, semalam, membabitkan 12 Ahli Tetap SCUFN dari 12 negara.

TLDM melalui satu kenyataan hari ini, memaklumkan pemilihan Najhan itu penghormatan tertinggi yang pernah diterima TLDM dan Malaysia di pentas antarabangsa, khasnya dalam bidang hidrografi dan oseanografi.

"Ia jelas menzahirkan kualiti tinggi yang dimiliki warga TLDM," menurut kenyataan berkenaan.



Selain Malaysia, 11 Ahli Tetap SCUFN adalah Amerika Syarikat (AS), Australia, Brazil, China, Indonesia, Itali, Jepun, Kenya, Korea Selatan, Mexico dan New Zealand.

Najhan mendapat undi majoriti 10-2 berbanding wakil dari China, Dr Li Sihai, manakala bagi jawatan pengerusi, Dr Yasuhiko Ohara dari Jepun dipilih selepas mengatasi calon Australia.

SCUFN adalah jawatankuasa bernaung di bawah dua pertubuhan antarabangsa, Pertubuhan Hidrografi Antarabangsa (IHO) dan Suruhanjaya Oseanografi Antara Kerajaan (IOC).

Ia bertanggungjawab untuk menyemak, melulus dan menyeragamkan istilah geografi dan nama fitur dasar laut (FDL) yang dikemukakan oleh negara ahli untuk diwartakan secara rasmi dalam pangkalan data Carta Batimetrik Umum Lautan (GEBCO).

GEBCO menjadi pangkalan data rasmi rujukan nama- nama FDL bagi penerbitan carta dan atlas marin dunia. sebarang penghasilan kajian geologi marin juga perlu merujuk kepada nama-nama rasmi yang diwartakan dalam pangkalan data itu.

SCUFN juga mempunyai 12 Ahli Tetap, terdiri daripada enam ahli IHO dan enam ahli IOC yang dilantik melalui proses pemilihan oleh kedua-dua pertubuhan itu.

Mesyuarat tahunan SCUFN ke-36 dianjurkan oleh Australia Hydrograpghic Office (AHO) yang berlangsung pada 6 hingga 10 November lalu.

Selain Najhan yang hadir selaku Ahli Tetap SCUFN sejak 2018, Malaysia turut menghantar delegasi terdiri pegawai kanan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar dan Pusat Hidrografi Nasional.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/11/1175964/timbalan-panglima-armada-timur-tldm-dilantik-naib-pengerusi-scufn
Pages: [1]
View full version: Timbalan Panglima Armada Timur TLDM dilantik Naib Pengerusi SCUFN


ADVERTISEMENT