Raline Publish time 9-11-2023 07:06 AM

Razie yakin raih tiket ke Paris 2024

Razie yakin raih tiket ke Paris 2024

https://assets.bharian.com.my/images/articles/feeqfpokqef_1699445731.jpg
Pemain hoki negara ketika beraksi di Sukan Asia Hangzhou 2022. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara sudah memulakan tugasan untuk meneliti setiap pasukan lawan yang berada dalam Kumpulan A Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman pada Januari tahun depan.

Pemain senior hoki lelaki kebangsaan, Muhammad Razie Abdul Rahim berkata, pasukan sedar akan rintangan bakal ditempuh di Muscat yang turut disertai Great Britain, China dan Pakistan namun optimis pasukan mampu menempah tiket kelayakan ke Paris 2024.

"Kalau lihat pada undian ada Great Britain, Pakistan dan China. Maklumat mengenai Pakistan dan China, kita sudah ada ketika beraksi di Sukan Asia Hangzhou baru-baru ini.

"Untuk Great Britain, kita belum ada apa-apa lagi input mengenai corak permainan mereka dan semuanya. Apapun, kita sudah memulakan persiapan untuk merancang bagaimana untuk bertemu lawan.

"Setakat ini, saya tetap yakin yang pasukan akan mendapatkan tiket ke Olimpik Paris 2024," kata Razie yang juga pakar pukulan sudut penalti negara ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, skuad negara bimbingan Arul Selvaraj terlepas peluang slot kelayakan di Sukan Asia di Hangzhou apabila menamatkan kempen di tempat keenam selepas tewas di tangan Pakistan 2-5.

"Di kejohanan kelayakan, kita tak boleh jangka. Semua perlawanan boleh jadi 50-50, jadi kita perlu mengambil setiap perlawanan secara satu demi satu. Pakistan juga sebuah pasukan yang hebat dan kalau diikutkan ranking Great Britain juga paling tinggi.

"Apapun, kita perlu mengkaji corak permainan mereka untuk dapatkan tiga mata bagi mara ke pusingan seterusnya," kata Razie.

Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2023/11/1174840/razie-yakin-raih-tiket-ke-paris-2024

Pages: [1]
View full version: Razie yakin raih tiket ke Paris 2024


ADVERTISEMENT