mattzzx Publish time 6-11-2023 03:05 PM

Triumph Street Triple 765RS

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/11/01-Teknologi-motor-perlumbaan-Moto-2-berada-di-antara-casisnyac-2048x1153.jpg

STREET Triple adalah satu daripada model motosikal jenama Triumph, berasal dari United Kingdom (UK). Mungkin ramai yang mengenali jenama Triumph selalunya berkait dengan model-model klasik atau retro. Namun, pencinta dunia dua roda mengetahui kewujudan beberapa model yang begitu sinonim dengan model sports yang mengetengahkan ciri kestabilan pengendalian dalam kelajuan ekstrim.

Apabila Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) mengumumkan penggunaan enjin Triumph bermula pada kejohanan 2019, jenama Triumph tidak boleh lagi dipandang sebagai pembuat motosikal klasik semata-mata kerana umum mengetahui MotoGP memerlukan teknologi dan kejuruteraan tertinggi dalam kancah perlumbaannya.

Model Street Triple dijadikan asas pembangunan jentera-jentera Moto2, iaitu kelas pertengahan di antara tiga kelas yang dipertandingkan dalam Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia. Sudah tentu, teknologi ini akan dibawa ke jentera yang dihasilkan untuk pasaran awam. Maka, bolehlah dianggap Street Triple 765 RS mempunyai identiti motosikal lumba Moto2.
triump

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/11/triump-2-2048x1152.jpg?v=1699240763
Agresif, dan tampak pencinta kelajuan


REKA BENTUK FIZIKAL

Sebenarnya, Triumph pernah mempunyai model sports lengkap dengan fairing dan pelindung angin yang lebih mirip pada sesebuah jentera perlumbaan atas litar. Namun, atas desakan pasaran dunia yang mula kurang berminat terhadap model-model sport, Triumph mengambil tindakan untuk menghentikan produksi model Daytona dan memindahkan teknologi kepada model jalanan mereka yang sudah tentu ‘mewarisi’ kehebatan kejuruteraan dan elektronik perlumbaan moden.

Street Triple 765 RS bukanlah model baharu, malah, saya diperkenalkan dengan Street Triple ini pada 2016 apabila ia diedarkan oleh pengedar dan pengimport lain ketika itu.

Model tersebut mempunyai kapasiti 675cc, namun telah berjaya menambat hati saya walau ia hanya sebuah model jalanan (street naked). Ketika itu, ia seolah-olah sebuah model Daytona yang telah ‘dibogelkan’ kerana masih mengekalkan kuasa enjin dan kebolehan pengendalian yang sama.
triump

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/11/triump-3-2048x1153.jpg?v=1699240764
Lampu dengan ‘alis’ garang

Bermula 2018, model 765cc telah diperkenalkan dan meneruskan tradisi penghasilan model S, R dan RS. Keupayaan enjin tiga silinder ini dipertingkatkan lagi dengan penambahbaikan bantuan penunggangan elektronik serta kejuruteraan sistem gear yang lebih canggih. Ternyata motosikal ini bukanlah dibina untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan motosikal berkapasiti enjin yang sederhana besar.

Model 2023 ini juga tidak jauh lari dari segi fizikal Street Triple yang diperkenalkan lebih lima tahun lalu. Namun, perubahan drastik pada penggunaan meter jenis TFT berwarna sebesar lima inci, yang membolehkan anda berhubung dengan alat peranti seperti kebanyakan penambahbaikan pada motosikal-motosikal masa kini.
triump

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/11/triump-8-2048x1153.jpg?v=1699240766
Pelana pembonceng boleh diganti dengan penutup.

Model 765 RS ini mempunyai pilihan untuk anda menunggang secara solo dengan kusyen pelana pembonceng boleh digantikan dengan penutup, bagi menambahkan imej ‘perlumbaan’ atau single seater. Sebagai penambahan, untuk mengasingkan model R dengan RS, RS didatangkan dengan penyerap hentakan tunggal di belakang berjenama Ohlins. Suspensi hadapan pula adalah jenis terbalik dan boleh dilaras, untuk bahagian hadapan tetapi menggunakan jenama Showa.

Aspek utama yang menyerlahkan model RS berbanding R ialah skim warnanya yang agak minimalis tetapi penggunaan warna asas yang menarik. Perak (silver ice), merah (carnival red) dan kuning keemasan (cosmic yellow).


https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/11/triump-4-2048x1153.jpg?v=1699240764
Lampunya memberi gambaran seperti seekor mentadak.

PENGENDALIAN

Seperti kebanyakan motor sport moden, 765 RS juga dilengkapi dengan empat mod enjin iaitu jalan raya, hujan, sport dan pilihan (pilihan pelarasan peribadi pemiliknya). Mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi dengan 765 RS adalah karakteristiknya yang paling menarik. Selain rekaan casis yang mantap, kombinasi penyerap hentakan terbalik dan boleh laras daripada Showa, tayar Pirelli Diablo Supercorsa dan penyerap hentakan tunggal belakang daripada Ohlins menjanjikan kebolehan ‘meleper’ di selekoh-selekoh tajam dengan kelajuan tinggi.
triump

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/11/triump-5-2048x1153.jpg?v=1699240765
Eksoz standardnya cantik dan menghasilkan bunyi yang unik.

Walau bagaimanapun, untuk memecut keluar selekoh dengan pantas, enjin yang cukup berkuasa tanpa gagal dikawal diperlukan untuk jenis penunggangan ekstrim sebegini. Pakej jentera 765 RS cukup mengujakan dengan penambahbaikan sistem gear dan pacuan terakhir, sistem ekzos yang baharu, selain memberikan bunyi ikonik jentera tiga silinder. Pengubahsuaian pada tiga corong kepala paip ekzos dapat dilihat dengan jelas pada jentera ini. Saya kira ia membolehkan jentera ini menghasilkan kuasa tujahan dengan lebih pantas pada tahap RPM yang sederhana tinggi.
triump

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/11/triump-6-2048x1153.jpg?v=1699240765
Suspensi monoshock Ohlins.

Sebagai pelengkap prestasi hebat model RS, sistem bantuan pertukaran gear yang begitu sempurna telah ditambah pada sistem pacuannya. RS boleh menukar gear (gear atas dan juga gear rendah), tanpa perlu menarik tuas klac. Sistem quick shifter dan slipper clutch membantu kelancaran jentera ini mencapai kelajuan optimumnya ketika pulasan pendikit tidak sedikitpun dilepaskan.

Kebolehan enjin memacu model ini pada tahap kelajuan tinggi dapat dihentikan dengan hanya dua jari pada tuas brek hadapan kerana penggunaan brek Brembo Stylema empat piston dalam kaliper brek sangat terkenal keberkesanannya. Brembo M4.32 jenis kaliper monoblok empat piston pula digunakan untuk kuasa memberhenti roda belakang.
triump

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/11/triump-7-2048x1153.jpg?v=1699240766
Meter TFT berwarna dan padat dengan inro penunggangan.

KESIMPULAN

Triumph Street Triple 765 RS mungkin bukanlah sehebat jentera sport sejati berkapasiti 1000cc. Namun, bagi saya ia adalah model yang agak fokus tentang genre yang dimahukan, membolehkan pemilik dan penggunanya memerah kuasa optimum dengan pemanduan yang jitu. Ia juga membolehkan anda merasai keseronokan menunggang bukan sahaja pada laluan lurus.

Kebolehan untuk menyaingi jentera sport 1000cc ketika mendaki selekoh-selekoh di Genting Highlands atau Bukit Tinggi merupakan keseronokan abadi yang membolehkan anda tidur dengan senyuman di malam hari walaupun dalam akaun bank anda telah terkurang RM69,285.

Andainya model RS tidak cukup laju, mungkin anda sudah boleh mengintai versi Street Triple replika Moto2, terhad 765 unit sahaja berharga ratusan ribu. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/ekonomi/2023/11/triumph-street-triple-765rs-teknologi-moto2-untuk-dimiliki/
Pages: [1]
View full version: Triumph Street Triple 765RS


ADVERTISEMENT