mattzzx Publish time 4-11-2023 06:05 PM

14 kapal Maritim berjaya tamat Eksesais Maritim Perkasa Timur

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/IMG_7843_1699090268.jpg
HAMID (depan sekali) bersama anggota Maritim yang menyertai Eksesais Maritim Perkasa Timur 2023. FOTO Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Kuching: Bot Nelayan Asing (BNA) yang cuba menceroboh masuk ke kawasan perairan negara secara besar-besaran di di kedudukan 15 hingga 20 batu nautika selatan Amboyna Cay, meninggalkan perairan itu sebaik menyedari kehadiran 14 kapal milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).

Kesemua aset agensi dalam skala besar itu turut berjaya melakukan pengusiran terhadap kapal penguat kuasa negara asing yang berada di kawasan perairan negara.

Kehadiran kapal berkenaan bagi melaksanakan Eksesais Maritim Perkasa Timur 2023 selama lima hari pelayaran dengan merentasi jarak 850 batu nautika di Laut China Selatan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim, Laksamana Madya Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, eksesais itu mencapai tujuan apabila keberadaan aset Maritim di perairan negara dirasai.


"Pegawai dan anggota menjalani beberapa siri latihan sepanjang pelayaran antaranya navigasi, deck landing training, sistem komunikasi, penggeledahan, mengawal kebanjiran dan melawan api serta tembakan di laut.

"Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden mempamerkan sikap profesionalisme, keupayaan dan tahap kompetensi warga Maritim dalam memikul tanggungjawab selaku penguat kuasa maritim negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Eksesasi Maritim Perkasa Timur di Kompleks Maritim Tun Abang Salehuddin di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah; Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus dan Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Zulinda Ramly.

Mengulas lanjut, Hamid berkata, eksesais itu mampu memperkasa kebolehupayaan dan kebolehoperasian bersama Maritim Sabah dan Sarawak di kawasan Laut China Selatan selepas ini.

"Melalui eksesais itu, Maritim berjaya mengumpul maklumat dan maklum balas daripada kru terbabit untuk penambahbaikan tatacara pengendalian piawaian operasi pada masa akan datang," katanya.

Eksesais Maritim Perkasa Timur menjalani tiga fasa latihan bermula dengan Fasa Pelabuhan membabitkan sesi taklimat siri latihan dan sesi Table Top yang dilaksanakan di Pejabat Maritim Sabah dan Labuan pada 28 dan 29 Oktober lalu.

Fasa kedua pula membabitkan Fasa Laut yang mana aset agensi melakukan pelayaran dari Perairan Kota Kinabalu ke Perairan Kuching bermula 30 Oktober hingga semalam.

Fasa terakhir adalah Fasa Pasca Eksesais iaitu rumusan bagi melihat pencapaian dan penambahbaikan untuk eksesais akan datang yang berlangsung di Pejabat Maritim Sarawak bermula semalam sehingga hari ini.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/11/1026996/14-kapal-maritim-berjaya-tamat-eksesais-maritim-perkasa-timur
Pages: [1]
View full version: 14 kapal Maritim berjaya tamat Eksesais Maritim Perkasa Timur


ADVERTISEMENT