Raline Publish time 4-11-2023 08:48 AM

Jerman belasah juara bertahan, berdepan Australia final SOJC 2023

Jerman belasah juara bertahan, berdepan Australia final SOJC 2023
https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/11/WhatsApp-Image-2023-11-03-at-10.09.36-PM-1.jpeg
MICHEL STUTHOFF (kanan) melepasi kawalan pemain India pada aksi separuh akhir SOJC di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.


JOHOR BAHRU – Jerman menempah tiket ke final Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 selepas membelasah juara bertahan, India 6-3 pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Taman Daya, di sini malam ini.

Juara SOJC edisi kedua pada 2012 itu akan berdepan Australia yang menewaskan Pakistan dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Pasukan kendalian Rein Van Eijk itu selesa di hadapan setelah mencipta dua jaringan pada suku kedua oleh Christian Franz menerusi gol padang pada minit ke-16 dan Nikas Berendts yang memanfaatkan pukulan sudut penalti pada minit ke-29.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan bimbingan C.R. Kumar merapatkan kedudukan apabila memperoleh gol menerusi Lakra Amandeep yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-35.

Jaringan itu tidak menggugat semangat pasukan Jerman untuk melangkah ke final dalam penampilan keduanya dalam SOJC apabila terus mengganas membedil empat gol pada separuh masa kedua.

Berendts menambah gol peribadinya pada minit ke-45 manakala Peer Hinrichs mencipta dua gol pada minit ke-43 dan minit ke-48 manakala Florian Sperling menambah jaringan menerusi gol padang pada minit ke-49.

Tidak berputus asa, India tetap mengatur serangan dan berjaya memperoleh dua gol saguhati yang dijaringkan kapten Uttam Singh pada minit ke-58 dan Rohit pada minit ke-60.

Sementara itu, Australia berdepan tentangan hebat Pakistan sebelum mencatatkan kemenangan 2-1. – KOSMO! ONLINE

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/11/03/jerman-belasah-juara-bertahan-berdepan-australia-final-sojc-2023/

Pages: [1]
View full version: Jerman belasah juara bertahan, berdepan Australia final SOJC 2023


ADVERTISEMENT