Raline Publish time 3-11-2023 07:06 AM

Dunia Islam usah berdiam diri tatkala Palestin sengsara

Dunia Islam usah berdiam diri tatkala Palestin sengsara
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/untuhamak1_1698706932.jpg
PALESTIN dambakan bantuan dan semakin tertekan angkara Zionis Israel. FOTO Reuters



Konflik Palestin dengan rejim Zionis Israel terus berlanjutan sehingga kini yang menyaksikan korban selain kecederaan semakin meningkat. Demikian juga dengan angka jumlah yang kehilangan tempat kediaman.

Bunyi bedilan roket yang hinggar-bingar di ruang angkasa bumi para Anbiya itu seolah-oleh menggantikan alunan suci suara kalimah azan. Ketika kita bersahaja penuh rasa ceria melangkah kaki untuk merebut saf di ruang solat di masjid dan surau, saudara kita di sana bergegas melangkah kaki untuk mencari tempat perlindungan.

Jika di waktu awal pagi, kita bergegas menghantar anak ke tadika dan sekolah dengan sulaman senyum tanda kasih sayang, tetapi mereka di sana sedang mengusung si anak kecil yang kini sudah bergelar jenazah. Tua muda, lelaki mahupun wanita, semua tidak terlepas daripada hentaman kejam serangan Israel yang selama ini tidak pernah kenal erti kemanusiaan

Israel masih bertelinga pekak dan bermata buta, meskipun majoriti besar negara di PBB mengecam dan mengutuk tindakan melampau rejim itu. Sikap tidak mempedulikan kecaman masyarakat antarabangsa sebenarnya bukan kali ini sahaja, tetapi sudah sekian lama mereka bertindak seolah-olah 'Maharaja Dunia' yang diberikan lesen untuk bertindak sesuka hati.
Namun, di sebalik sikap buruk melampau Israel yang bukan di sebalik tirai lagi, tetapi tertayang secara terang-terangan tidaklah menghairankan kita. Ini kerana memang sejak dulu, dan kini mereka memang begitu lakunya. Apa yang sangat menghairankan kita tidak lain ialah kelesuan bertindak yang ditunjukkan oleh negara-negara Islam, khususnya menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Di ketika begitu banyak nyawa tidak berdosa telah terkorban, takkan OIC dan masyarakat antarabangsa lain sekadar membantah dengan bersuara di demonstrasi awam semata-mata. OIC selaku payung kepada kelangsungan kehidupan umat Islam di seluruh dunia sewajarnya mengorak pendekatan yang lebih agresif dan berdaya dinamik demi menyelamatkan saudara kita di sana.

OIC ialah satu pertubuhan antarabangsa dalam kalangan negara yang mempunyai delegasi tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Organisasi ini terdiri daripada gabungan 57 negara Islam seluruh dunia yang kebanyakannya dari negara Timur Tengah dan utara Afrika, Caucasus, Asia Tenggara, Asia Tengah, Balkan dan Asia Selatan. Negara-negara ini telah membuat keputusan untuk mengumpulkan sumber mereka bersama-sama bergabung bersatu tenaga dan suara untuk melindungi kepentingan dan memastikan kemajuan dan kebajikan umat islam di seluruh dunia.

Sebenarnya, apa yang berlaku dalam OIC mahupun dalam Pertubuhan Negara Teluk, jelas mempamerkan tandusnya semangat kesatuan dan kebersamaan. Cubit paha kanan, terasa di paha kiri seolah-olah tiada dalam jiwa masing-masing.

OIC seharusnya menunaikan setiap matlamat penubuhannya dengan sebaiknya. Jika kita meneliti matlamat OIC begitu murni yang antaranya ialah memupuk perpaduan umat Islam di seluruh dunia, memelihara tempat suci Islam, membina semangat bekerjsama antara negara, menggalakkan kerjasama dalam lapangan ekonomi, sosial dan kebudayaan dalam kalangan negara anggota.

Soal negara Palestin turut menjadi antara matlamatnya yang menyebut, OIC menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan semula tanah air mereka.

Oleh itu, dalam isu konflik Palestin dan Israel yang semakin memburuk ini, OIC mesti berani bertindak dalam kerangka wajar demi menyelamatkan nyawa rakyat Palestin daripada kekejaman Israel. Kita yakin jika semua negara Islam bersatu hati mara menampilkan langkah konkrit, kudrat Israel akan kendur dan mengundur.

Kita juga berasa sangat pilu apabila akhbar ini sendiri yang melaporkan bekalan makanan dijangka kehabisan stok tidak lama lagi dan krisis kebuluran bakal menimpa ke atas rakyat Palestin seandainya saluran untuk menghantar bekalan kemanusiaan ke sana menghadapi jalan buntu.

Kita tidak dapat bayangkan situasi buruk jika saudara seagama di sana berdepan krisis kebuluran. Kita wajib bersama bersatu hati dan bersatu kudrat untuk menunjukkan simpati dan empati kepada mereka.

Susah dan derita mereka, juga adalah kesusahan hati kita. Marilah kita bersama-sama membantu dengan sekurang-kurangnya menghulurkan sumbangan wang ringgit semata-mata berniat untuk menolong meringankan beban berat yang sedang ditanggung. Sesungguhnya, Islam sangat menekankan sikap dan rasa kebersamaan sesama ummah.

Rasulullah SAW ada meninggalkan pesanan dengan mengingatkan kita bahawa, "Barang siapa melapangkan seorang mukmin daripada kesusahan dunia, Allah akan melapangkannya daripada salah satu kesusahan di hari kiamat. Barang siapa meringankan penderitaan seseorang, Allah akan meringankan penderitaannya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi (aib) seorang muslim, Allah akan menutupi (aib)nya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong seorang hamba selama hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Imam Muslim)

Sungguhpun kita tidak dapat pergi ke sana untuk berjuang bersama saudara kita, namun di kejauhan ini kita masih memiliki peluang untuk membantu sekadar yang termampu. Batas geografi tidak mampu untuk membatas rasa kebersamaan sesama umat Islam.

Allah menerusi Surah Al-Maidah ayat 2 jelas memperlihatkan betapa Islam menyanjung tinggi sikap saling membantu dan bertolongan. Firman Allah yang bermaksud, "Saling menolonglah kamu dalam melakukan kebajikan dan takwa. Dan jangan saling menolong pada perbuatan dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah SWT. Sebenarnya siksaan Allah SWT sangatlah pedih."

Dunia Islam tidak sewajarnya terus membiarkan jasad kecil diusung, rumah kediaman dibom oleh rejim ganas Zionis Israel. OIC mahupun PBB mesti berada di barisan hadapan dalam usaha menoktahkan kekejaman dan kezaliman itu daripada terus berpanjangan.

Bersamalah kita terus berdoa kepada Allah supaya saudara kita di Palestin dikurniakan kecekalan semangat untuk menempuh situasi yang penuh dugaan itu. Semoga mereka dikekalkan Allah dengan jiwa yang tabah dan tetap berasa penuh bangga menjulang tinggi panji syuhada. Amin.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2023/10/1025383/dunia-islam-usah-berdiam-diri-tatkala-palestin-sengsara

Pages: [1]
View full version: Dunia Islam usah berdiam diri tatkala Palestin sengsara


ADVERTISEMENT