Raline Publish time 3-11-2023 07:05 AM

Tanpa akhlak murni, kita berada dalam ketempangan

Tanpa akhlak murni, kita berada dalam ketempangan
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/MASJIDBAA1_1698793255.jpg
ORANG yang bersih hatinya akan sentiasa berlapang dada untuk memaafkan kesalahan orang lain. FOTO Arkib AFP


Sesungguhnya akhlak seseorang itu terbina kukuh apabila hatinya bersih yang tidak diselaputi dengan abu karat sifat mazmumah.

Apabila hati seseorang itu bersih, kesannya jelas terserlah pada apa sahaja pergerakan anggota fizikalnya. Ini selaras dengan apa yang pernah diberitahu Rasulullah SAW dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang mana Baginda SAW bersabda, 'Sesungguhnya di dalam badan seseorang itu ada sepotong daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh anggota badannya dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh anggota badannya, Ketahuilah, itulah yang dikatakan hati.'

Kekalutan sosial yang seringkali berlaku kebelakangan ini sebenarnya timbul apabila terdapat sesetengah pihak yang busuk dan buruk hatinya. Misalnya, fenomena fitnah memfitnah dan berhasad dengki adalah petanda bahawa hati seseorang individu itu hatinya tidak bersih.

Sebab itu Rasulullah SAW secara jelas melarang keras umatnya daripada melakukan perbuatan seperti itu. Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Abu Daud bersabda, 'Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, Allah akan mengintip keaibannya dan dia akan mendedahkannya, meskipun berada di dalam rumah sendiri.'

Rasulullah SAW juga mengingatkan kita semua akan kesan buruk yang bakal berlaku kepada si pengumpat yang mana kali ini baginda SAW menyatakan, 'Sesiapa yang melakukan kezaliman terhadap saudaranya membabitkan maruah (penghormatan) atau sebagainya, maka lebih baik dia memohon kemaafan kepada orang itu sebelum tiba hari di mana dinar dan dirham tidak lagi diperlukan. Jika dia mempunyai apa-apa kebaikan, perkara itu akan ditarik daripadanya sebagai balasan ke atas kejahatan yang dibuat. Jika dia tidak ada sebarang amalan kebaikan, maka kejahatan orang yang diumpat itu akan diletakkan kepadanya.' (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Masya-Allah, dahsyatnya balasan bagi mereka yang suka mengumpat. Di dunia ini mungkin kita tidak langsung menganggap perbuatan mengumpat seseorang itu sebagai dosa besar dan sudah terbiasa dengan amalan seperti ini. Jumpa sahaja rakan taulan ada sahaja cerita berkenaan si fulan-si fulan yang digembar-gemburkan sebagai bahan hangat perbualan. Kalau tidak berceritakan mengenai orang lain maka tidak sah pula duduk semeja dengan teman.

Selain itu, membualkan berkenaan peribadi atau aib seseorang yang lain, perbuatan atau sikap buruk sangka juga adalah perlambangan betapa kotornya hati seseorang itu. Allah secara jelas mengharamkan setiap daripada hamba-Nya berburuk sangka sesama manusia sebagaimana terkandung dalam Surah al-Hujurat ayat 12. Begitu juga Rasulullah SAW ada memberikan amaran keras terhadap umatnya supaya menjauhi sikap buruk sangka.

Imam Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, 'Jauhilah prasangka sebab prasangka itu adalah perbuatan yang paling dusta.'

Rasulullah SAW menambah lagi peringatannya dengan bersabda, 'Hindarilah prasangka kerana prasangka itu berita yang paling bohong. Jangan saling mencari-cari keburukan orang. Jangan saling mengorek rahsia orang dan saling menyaingi. Jangan saling mendengki, jangan saling marah dan saling tak acuh. Tetapi, jadilah kamu semua bersaudara sebagai hamba-hamba Allah.' (Hadis Riwayat At-Tabrani)

Hadis ini sebenarnya memimpin kita supaya dapat hidup bermasyarakat dalam situasi yang harmoni. Sekiranya setiap bimbingan yang disampaikan oleh Baginda SAW itu kita pegang seeratnya, maka dunia kehidupan sosial akan berada dalam suasana penuh kondusif.

Tetapi, berdasarkan suasana semasa yang menunjukkan betapa etika hidup yang digarapkan oleh Rasulullah SAW tidak dipedulikan dan manusia masa ini lebih menjunjung tinggi kehendak hawa nafsu. Meskipun setiap perbuatan yang ditegah itu adalah petanda hati yang kotor, tetapi itu belum mencukupi untuk menimbulkan rasa insaf dalam diri. Mengapakah begitu sekali jadinya?

Di samping itu, sikap sukar memaafkan orang lain dan suka berdendam juga dikategorikan sebagai penyakit hati yang kotor. Orang yang bersih hatinya akan sentiasa terbuka hati untuk memaafkan kesalahan orang lain.

Seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Ibnu Mas'ud ada menceritakan, 'Seolah-olah saya melihat Rasulullah SAW sedang bercerita tentang seorang nabi. Nabi tersebut dipukul oleh kaumnya sendiri sehingga berlumuran darah. Lalu nabi itu mengesat darah yang mengalir di wajahnya sambil berdoa, 'Ya Allah, ampunilah kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengerti.' (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Riwayat ini menunjukkan betapa tinggi sikap memaafkan orang atau pihak lain meskipun diri sendiri sudah teraniaya atau pernah dizalimi. Justeru, dalam berhadapan dengan situasi kehidupan masakini yang berkemungkinan akan timbulnya salah faham atau mungkin ada sesuatu yang mengecilkan hati, perkara terbabit tidak seharusnya dijadikan 'bahan' untuk berdendam sehingga tidak mahu bertegur sapa lagi.

Maafkan kesalahan orang lain adalah tanda sihatnya hati, sebaliknya apabila suka berdendam kesumat pula memberikan gambaran buruk dan busuknya hati. Hakikatnya, dalam penyampaian mesej dakwah Rasulullah SAW dahulu sudahpun merangkumi segenap aspek kehidupan manusia, baik yang menyentuh hal ehwal duniawi mahupun yang ukhrawi. Itu termasuk bagaimana kita sewajarnya susuri kehidupan ini dengan nilai akhlak atau berperibadi yang sepatutnya.

'Peta Kehidupan' seseorang Mukmin sepatutnya berteraskan kepada akhlak murni yang selari dengan nilai Islam. Setinggi mana sekalipun ilmu pengetahuan, sekaya mana sekalipun kekayaan yang dimiliki ataupun sekuat manapun pengaruh darjat status sosial seseorang itu, tanpa akhlak murni, ia tetap berada dalam ketempangan.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2023/11/1025748/tanpa-akhlak-murni-kita-berada-dalam-ketempangan

Pages: [1]
View full version: Tanpa akhlak murni, kita berada dalam ketempangan


ADVERTISEMENT