mattzzx Publish time 31-10-2023 04:12 PM

Umar sedia berlatih bersama Ammar

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/usman_1698727101.jpg
Umar Osman ketika memecahkan rekod kebangsaan di Sukan SEA Kemboja. - NSTP/FATHIL ASRI.

Kuala Lumpur: Pemegang rekod 400 meter (m) kebangsaan, Umar Osman bersedia bekerjasama dengan bekas rakan sepasukannya, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi bagi membantu meningkatkan prestasi serta mendapatkan catatan masa yang diinginkan.

Umar berkata, perkara itu bukan sesuatu yang baharu kerana sebelum ini Ammar pernah menyatakan hasratnya untuk berlatih bersama-sama dengan dia.

"Dia ada juga cakap dengan saya kalau ada rezeki nak berlatih bersama-sama, kalau dapat adakan latihan bersama kami dapat bersaing bersama-sama, masing-masing akan push sesama sendiri tapi saya nampak Ammar masih lagi bagus.

"Tapi untuk berlatih bersama dengan Ammar susah juga sebab kami berlatih di berlainan tempat dan jurulatih. Mungkin kami dapat membantu satu sama lain ketika dalam kejohanan sahaja.

"Bagi saya prestasi dia baru-baru ini memang 'outstanding', sebab dia sekarang sudah jadi pemegang rekod Sukan Para Asia dan rekod Para Asia, selain tu dia layak ke Paralimpik Paris 2024.

"Catatan yang dia lakukan di Sukan Para Asia juga antara terbaik di Paralimpik yang lepas (Paralimpik 2020), bagi saya memang tersangat mantap prestasi dia," katanya kepada Arena Metro.

Ujar Umar, mereka pernah bergandingan bersama ketika Sukan Malaysia (Sukma) yang lepas dan menyedari Ammar sememangnya seorang pelari yang bagus dan berpotensi untuk melangkah lebih jauh.

Untuk rekod, Umar berjaya melakukan tiga rekod kebangsaan untuk tahun ini, bermula di Sukan SEA Kemboja (46.34 saat) dan dua kali di Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China (46.33s dan 46.09s) sekali gus membuktikan dia antara pelari terbaik negara ketika ini.

Sementara bagi Ammar, kejayaan melakukan dua rekod di Sukan Para Asia Hangzhou baru-baru ini juga membuktikan dirinya mempunyai potensi yang baik untuk bersaing di Paralimpik tahun hadapan.
https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2023/10/1025479/umar-sedia-berlatih-bersama-ammar
Pages: [1]
View full version: Umar sedia berlatih bersama Ammar


ADVERTISEMENT