Raline Publish time 31-10-2023 07:43 AM

Meneladani sifat nabi hadapi ujian kehilangan

Meneladani sifat nabi hadapi ujian kehilangan




https://assets.hmetro.com.my/images/articles/28hm15hh_1698444019.jpg
SETIAP individu pasti menghadapi situasi kehilangan insan tersayang dalam kehidupan.



Setiap individu pernah menghadapi situasi kehilangan insan tersayang dalam kehidupan. Keadaan itut adalah suatu ketentuan yang tidak dapat dijangkakan sama ada melibatkan ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa, suami isteri, anak-anak mahu pun sahabat handai. Kehilangan ada kalanya membuatkan kita hilang tempat bergantung dan menyandarkan pengharapan pada saat diperlukan. Kehilangan boleh menjadikan dunia tiba-tiba bagai kelam dan perasaan diselubungi kesedihan. Dalam hal ini, penulis terkenangkan tragedi kemalangan jalan raya menyayat hati yang berlaku di Segamat Johor baru-baru ini sehingga mengorbankan nyawa enam ahli keluarga sekali gus yang benar-benar meruntun jiwa. Hanya ketabahan dan kecekalan hati menjadi sumber kekuatan untuk menerima takdir bagi meneruskan kehidupan. Benarlah firman Allah dalam al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar."

Hakikatnya, perasaan kesedihan adalah sebahagian daripada naluri fitrah manusia. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA beliau menceritakan bahawa ketika anakanda Rasulullah SAW yang bernama Ibrahim meninggal dunia, berlinanganlah kedua-dua mata baginda SAW lantas Abd Al-Rahman bin Auf berkata: "Kamu juga menangis wahai Rasulullah?'' Maka jawab Rasulullah SAW maksudnya: "Wahai anak lelaki Auf, sesungguhnya ia (tangisan) itu adalah suatu rahmat" - (Riwayat al-Bukhari). Ajaran Islam meraikan kepelbagaian reaksi dan emosi yang wujud dalam diri manusia, namun ditegah mengekpresikannya secara berlebih-lebihan seperti meratapi kematian atau melakukan perbuatan khurafat yang lain. Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabda baginda yang bermaksud: "Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah daripada perbuatan orang kafir: mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat" - (Riwayat Muslim). Terdapat juga beberapa tradisi kuno seperti menghias mayat yang telah dikuburkan dalam tempoh yang lama sebagai tanda ingatan dan penghormatan. Terbaharu, aplikasi menganimasikan gambar orang yang meninggal dunia untuk 'melepaskan' rindu buat ahli keluarga yang telah dijemput Ilahi. Namun semua perbuatan berkenaan bercanggah dengan tuntutan dan ajaran Islam.

Dalam catatan sirah, Nabi Muhammad SAW banyak mengalami musibah kehilangan insan yang dicintai. Rasulullah SAW menangisi pemergian isteri kesayangan iaitu Saidatina Khadijah RA, bapa saudara tercinta Abu Talib dan anak baginda Ibrahim. Saidatina Khadijah RA adalah isteri yang paling disayangi kerana bersama-sama pada saat sukar dan getir menyampaikan dakwah Islam, paling awal beriman kepada ajaran Islam, membantu dalam perniagaan dan melahirkan zuriat baginda. Abu Talib pula menjadi pembela kepada perjuangan dakwah baginda ketika berhadapan dengan tentangan hebat daripada kafir Quraisy. Begitulah pentingnya kedua-dua insan itu dalam kehidupan baginda sehingga tahun berkenaan dikenali sebagai tahun kesedihan susulan peristiwa paling menyedihkan yang dialami Rasulullah SAW.

Begitu juga keadaan sahabat seperti Abu Bakar al-Siddiq RA yang menangisi pemergian Rasulullah SAW dan kesedihan Umar al-Khattab RA sehingga terpaksa ditenangkan oleh sahabat yang lain. Anak perempuan kesayangan Rasulullah SAW, Fatimah RA juga pernah menangis ketika Nabi memberitahu tentang kematiannya. Al-Mubarakfuri menjelaskan dalam catatannya bahawa Nabi Muhammad SAW memanggil Fatimah ketika saat baginda hampir menemui kematian kemudian membisikkan sesuatu kepadanya lantas Fatimah menangis. Kemudian baginda memanggilnya lagi dan membisikkan sesuatu lantas dia tertawa. Aisyah RA berkata: "Maka aku pun bertanya kepadanya tentang kejadian itu, Fatimah menjelaskan "Rasulullah SAW membisikkan kepadaku bahawa baginda SAW akan wafat dengan sakit yang sedang dihadapinya, lantas aku menangis. Kemudian baginda SAW membisikkan kepadaku bahawa aku adalah ahli keluarganya yang pertama akan menyusul selepas daripada baginda SAW."

Walaupun sesuatu kehilangan itu amat berat untuk diterima, namun kehidupan perlu diteruskan demi kelangsungan sebuah perjuangan. Abu Bakar al-Siddiq RA sewaktu menghadapi kewafatan Rasulullah SAW menyampaikan ucapan yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya sesiapa yang menyembah Muhammad, sebenarnya Muhammad sudah mati; dan sesiapa yang menyembah Allah, sebenarnya Allah itu Maha Hidup tidak mati sekali-kali (seterusnya menyebutkan firman Allah SWT dalam Surah ali Imran ayat 144 bermaksud: "Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah didahului beberapa Rasul (yang mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)."

Kekuatan jiwa perlu dibangunkan dengan menyerahkan kebergantungan yang tinggi kepada Allah, menjauhkan diri daripada perkara dilarang dan membina sifat positif sebagaimana ditunjukkan oleh Nabi Ayyub AS dalam menghadapi musibah. Menurut al-Imam Ibn Kathir, Nabi Ayyub bukan sekadar diuji dengan penyakit bahkan Allah memberikan ujian yang meragut nyawa anaknya dan mengalami kehilangan harta. Namun Nabi Ayyub kekal tenang, bersikap positif dan bersangka baik dengan Allah. Firman Allah dalam Surah al-Anbiya' ayat 83 yang bermaksud: "Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: 'Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.'" Pengaduan dan pengharapan yang disandarkan kepada Allah SWT akhirnya diperkenankan sebagaimana maksud ayat al-Quran dalam surah yang sama ayat 84 bermaksud: "Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya serta Kami kurniakan kepadanya keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat daripada Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik)."



Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2023/10/1024390/meneladani-sifat-nabi-hadapi-ujian-kehilangan

Pages: [1]
View full version: Meneladani sifat nabi hadapi ujian kehilangan


ADVERTISEMENT