mattzzx Publish time 26-10-2023 10:21 AM

340 pelajar terima AKP Angkatan Tentera Malaysia

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/HM2610hsn_1698283020.jpg
MOHAMAD menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM). FOTO Ihsan Kementerian Pertahanan

Kuala Lumpur: Seramai 340 orang pelajar menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi kategori Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) keseluruhan bernilai RM477,500.

Kementerian Pertahanan memaklumkan, inisiatif itu dilaksanakan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) atau sebelum ini dikenali Yayasan Warisan Perajurit, sejak 1991.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 65 pelajar IPTA menerima RM1,000, manakala 275 pelajar kategori SPM menerima RM1,500 yang semuanya dikreditkan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime.

"Pengiktirafan yang diberikan ini sedikit sebanyak dilihat mampu menjadi suri teladan serta inspirasi kepada anak-anak warga ATM yang lain," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Majlis AKP 2023 itu disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Perdana Felda, di sini, semalam.

Hadir sama, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Pengerusi LTAT merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir.

Pada majlis sama, Mohamad turut menyampaikan Anugerah Ikon Menteri Pertahanan kepada Nik Noriqmal Nassim Nik Azlan dan Ameera Hannan Muhammad Habib sebagai anugerah khas atas pencapaian tertinggi dalam pelbagai bidang seperti akademik, kokurikulum dan kepimpinan.

Kementerian itu berkata, sejak 1991, LTAT menyalurkan pemberian dan dermasiswa kepada lebih 14,000 anak warga ATM dengan peruntukan RM12 juta.

"AKP ATM ini antara sumbangan yang ditaja keseluruhannya Yayasan LTAT sebagai tanda penghargaan kepada warga ATM dan Veteran ATM serta ahli keluarga disamping menjadi pemangkin semangat kepada warga ATM untuk meningkatkan pencapaian akademik anak-anak.

"Peranan Yayasan LTAT yang sentiasa menyokong dan mencari inisiatif baharu seperti Program Sentuhan Elit SPM, Jejak Bakat Anak Tentera dan Laksamana banyak menyumbang kepada kejayaan anak-anak tentera dalam pendidikan," katanya.

Katanya, Kementerian Pertahanan juga menerima cek contoh (mock cheque) bernilai RM250,000 bagi Program Sentuhan Elit SPM 2023 daripada Iltizam by Ekuinas sebagai tanda sokongan kepada pelajar SPM yang bersekolah di sekolah menengah dalam kem bagi menghadapi peperiksaan SPM kelak.

"Pelbagai inisiatif yang diberikan ini sebagai tanda sokongan kepada anak-anak warga ATM bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang kerjaya tidak kira yang cemerlang atau kurang cemerlang.

"Menteri Pertahanan juga mengingatkan supaya pegawai dan anggota ATM untuk terus prihatin dan mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/10/1023725/340-pelajar-terima-akp-angkatan-tentera-malaysia
Pages: [1]
View full version: 340 pelajar terima AKP Angkatan Tentera Malaysia


ADVERTISEMENT