mattzzx Publish time 24-10-2023 03:51 PM

24,283 pegawai dan anggota bomba bersiap sedia hadapi musim banjir

Kota Bharu: Bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) pada November depan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengarahkan seramai 24,283 pegawai dan anggota termasuk bomba sukarela serta bantuan bersiap sedia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pihaknya turut membekukan cuti 80 peratus daripada 13,475 pegawai dan anggota sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan berlakunya banjir sepanjang musim MTL.

Katanya, pembekuan cuti itu akan bermula sebaik saja sekretariat banjir mengisytiharkan operasi penyelamatan banjir di daerah atau negeri.

"Walau bagaimanapun, daripada jumlah itu, hanya 20 peratus yang akan diberikan cuti tertakluk kepada situasi bencana dan arahan berkenaan sudah dikeluarkan kepada pegawai dan anggota.

"Pada masa sama, 337 balai Bomba dan Penyelamat Malaysia di seluruh negara serta 358 balai bomba sukarela sudah bersiap sedia untuk tugasan sepanjang monsun," katanya pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan, di sini, hari ini.

Abdul Wahab berkata, pihaknya turut mewujudkan pangkalan hadapan untuk negeri di Pantai Timur bagi menempatkan aset lebih awal di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu dan bersedia digerakkan pada bila-bila masa yang diperlukan.

"Jadi dengan penempatan aset keanggotaan secara berpusat lebih awal termasuk pesawat udara membolehkan bantuan segera diberikan kepada negeri yang terbabit banjir di peringkat awal.

"Tindakan ini berdasarkan ramalan cuaca 2023 yang menjangkakan Pantai Timur adalah negeri terawal yang akan terbabit dalam fasa pertama banjir," katanya.

Beliau berkata, disamping itu juga, JBPM mewujudkan sebanyak 13 Pasukan Gerak Cepat yang mempunyai keanggotaan terdiri daripada 15 pegawai dan anggota pelbagai kepakaran termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan kemahiran pengendalian bot serta anggota Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).

"Pasukan Gerak Cepat ini ada di setiap negeri di semenanjung yang bersedia lebih awal untuk membantu mana-mana daerah ataupun pusat terbabit dengan banjir bagi operasi pemindahan mangsa banjir serta penyelamatan ketika MTL," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya turut mengenalpasti sebanyak 5,648 hotspot kawasan berisiko berlaku banjir di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, Sarawak merekodkan kawasan tertinggi dengan 1,066 hotspot diikuti Sabah (798), Pahang (750), Johor (745), dan Kelantan (617)," katanya.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/botnakamn1_1698132779.jpg
ABDUL Wahad (tiga kanan) diberi taklimat oleh Pegarah JBPM Kelantan, Jainal@Zainal Madasin (dua kiri) mengenai eset bot yang akan digunakan dalam operasi menyelamat semasa merasmikan Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut ketika lawatan Kerja Rasmi di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Kelantan, Tunjung. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/10/1023180/24283-pegawai-dan-anggota-bomba-bersiap-sedia-hadapi-musim-banjir
Pages: [1]
View full version: 24,283 pegawai dan anggota bomba bersiap sedia hadapi musim banjir


ADVERTISEMENT