Raline Publish time 22-10-2023 08:38 AM

SBA tingkat integriti di pintu masuk

SBA tingkat integriti di pintu masuk


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/suap_1697932819.jpg
SISTEM JARIS berjaya menjadi pangkalan pusat data dalam mengumpul semua dokumen Organisational Anti-Corruption Plan (OACP)


Kes rasuah berprofil tinggi dan membabitkan kepentingan awam sentiasa menarik perhatian umum.

Operasi besar-besaran SPRM melumpuhkan sindiket dan kartel, seperti Op Tropicana, Op Jaguar, Op Hire adalah hasil siasatan dan risikan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Walaupun siasatan dan operasi dilihat sebagai teras suruhanjaya ini, namun ia hanya sebahagian saja daripada fungsi dan peranan SPRM seperti dihuraikan dalam matlamat utama Akta SPRM 2009.

Kafe Ahad minggu ini berkongsi pandangan Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam (BUTSA) SPRM, LIM BEE KEAN mengenai 'menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan swasta.'

Apakah peranan utama Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR) dalam usaha membanteras rasuah?

JAR dibangunkan bersama dengan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) sejak 2019 untuk mencapai visi negara bebas rasuah dan tata kelola pentadbiran yang berintegriti terutamanya dalam sektor perkhidmatan awam.

Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam (BUTSA) SPRM selaku Urus Setia JAR Peringkat Kebangsaan memastikan keseragaman pengurusan JAR yang berperanan untuk menentukan isu-isu berimpak tinggi yang merentasi agensi serta mencadangkan langkah-langkah penyelesaian dan penambahbaikan kepada JKKMAR.

JAR adalah platform kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan kerajaan yang menumpukan kepada tiga bidang utama iaitu pengukuhan governans, pemantapan integriti dan antirasuah.

Sistem pentadbiran yang lebih bersih, telus, efektif dan terbuka menjadi agenda utama melalui tindakan mencegah penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan demi kebajikan rakyat dan kepentingan negara.

Bagaimana pula keanggotaan JAR?

JAR dianggotai Ketua Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Audit Negara, Peguam Negara, semua Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Persekutuan, semua Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan lain-lain ahli yang difikirkan perlu.

Apakah antara kejayaan JAR?

Antara kejayaan JAR adalah mengesyorkan penubuhan Single Border Agency (SBA) untuk menangani ketidakseragaman dan kekurangan pegawai penguatkuasa yang kritikal
di pintu-pintu masuk sempadan negara. Isu ini boleh
membuka ruang untuk aktiviti rasuah di sempadan negara yang boleh menggugat keselamatan negara.

Hasil daripada perbincangan lanjut di dalam Mesyuarat JAR Peringkat Kebangsaan memutuskan supaya Pasukan SBA dikuatkuasakan pada 11 November 2021.

Kini, dalam peringkat akhir pelaksanaan, penubuhan SBA boleh meningkatkan integriti pengurusan di pintu masuk negara khususnya kawalan dan pemeriksaan keluar masuk terhadap orang, kenderaan, barangan dan binatang, selain dapat membantu mengoptimumkan sumber negara.

JAR juga mengesyorkan kewujudan SOP berkaitan Pengurusan Sumbangan/ Hadiah oleh Agensi Awam daripada Pihak Luar bagi tujuan Bencana Alam. Dalam hal ini, Jabatan Perkhidmatan Awam sedang menambahbaik Tatacara Pemberian dan Penerimaan Hadiah dalam Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira syor SPRM untuk meningkatkan ketelusan dan keseragaman mengenai pengurusan penerimaan dan permohonan sumbangan oleh agensi awam daripada pihak luar, sekali gus menutup ruang dan peluang rasuah dan penyelewengan daripada berlaku.

Selain itu, isu permohonan surat sokongan oleh pihak luar contohnya syarikat yang mempunyai urusan rasmi dengan kementerian juga sesuatu isu yang boleh membuka ruang dan peluang untuk penyelewengan dan salah guna kuasa.

Mesyuarat JAR memutuskan dan bersetuju supaya surat sokongan dalam apa jua bentuk adalah tidak dibenarkan, selaras dengan Inisiatif 1.3.1. Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang melarang Anggota Pentadbiran atau individu berpengaruh daripada mengeluarkan surat sokongan ke atas mana-mana permohonan atau projek.

Apakah usaha terkini BUTSA untuk memantapkan fungsi dan peranan JAR?

Jawatankuasa Anti-Rasuah Integrated System (JARIS) mula dibangunkan pada Ogos 2021 melalui kerjasama di antara BUTSA dan Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM), SPRM.

JARIS juga salah satu perancangan di dalam Pelan Strategik SPRM 2021–2025 di bawah inisiatif Pemantapan Governans, Integriti dan Antirasuah: Pembangunan sistem pelaporan bagi isu
yang berkaitan governans, integriti dan antirasuah yang berimpak tinggi dan merentasi agensi.

Apakah kelebihan JARIS?

Sistem JARIS adalah merupakan satu sistem teknologi maklumat yang membabitkan pengurusan dokumen mesyuarat, dan pemantauan maklum balas minit mesyuarat dan pelaporan isu JAR.

Sistem ini bertujuan untuk menguruskan JAR dengan lebih pantas dan efisien di samping memudahkan pemantauan oleh KSU dan SUK ke atas tindakan yang perlu atau masih belum diambil tindakan oleh kementerian dan kerajaan negeri.

Selain mengurangkan human error, JARIS juga menjadi platform kepada perkongsian dokumen dan amalan terbaik kementerian atau kerajaan negeri secara berpusat kerana semua dokumen akan disimpan dalam satu pangkalan data dan bukannya disimpan dalam komputer masing-masing.

Malah, rekod pengemukaan dan penghantaran maklum balas atau laporan isu masih kekal di dalam sistem walaupun pegawai JAR kementerian atau kerajaan negeri bertukar.

Di samping itu, sistem JARIS ini juga berjaya menjadi pangkalan pusat data dalam mengumpul semua dokumen Organisational Anti-Corruption Plan (OACP) yang dibangunkan kementerian, kerajaan negeri dan agensi masing-masing serta menjadi platform kepada penyimpanan dokumen kementerian, kerajaan negeri dan agensi yang memperoleh pensijilan Anti-Bribery Management System (ABMS).

Pembangunan JARIS secara dalaman oleh Urus Setia SPRM tanpa membabitkan sebarang kos memudahkan pengurusan maklum balas dan laporan isu JAR kerana sistem ini boleh diakses di mana-mana saja tanpa mengira waktu, menjadikan sistem ini sebagai satu sistem pengurusan serta pemantauan yang efektif dan berkesan, sekali gus menggalas usaha membanteras rasuah di semua peringkat pentadbiran kerajaan.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/2023/10/1022452/sba-tingkat-integriti-di-pintu-masuk

Pages: [1]
View full version: SBA tingkat integriti di pintu masuk


ADVERTISEMENT