Raline Publish time 21-10-2023 08:27 AM

Teruja dengan rencam ragam ikan rohu

Teruja dengan rencam ragam ikan rohu


https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/10/Waw999568.jpg
Rasid menunjukkan ikan rohu yang berjaya ditangkapnya di sebuah kolam di Hulu Langat, Selangor.


APABILA berkunjung di mana-mana kolam ikan, pemuda itu pasti akan menyasarkan untuk menangkap ikan rohu.

Baginya, ikan rohu memberikan lebih keterujaan terutama ketika ikan tersebut bergelut setelah memakan umpan.

Menurut lelaki asal Johor, Rasid Basir, 38, dia gemar memburu rohu selepas pertama kali melihat kawan abangnya berjaya menangkap ikan tersebut di sebuah kolam ikan berbayar.

“Melihat kawan abang berjaya menangkap rohu menjadi titik tolak kepada minat saya terhadap hobi memancing.

“Sejak dari zaman sekolah, saya sering mengikut abang memancing dan saat melihat rakannya menangkap ikan rohu, ia memberi satu keterujaan yang berbeza berbanding ikan lain,” katanya ketika dihubungi K2.

Jelasnya, semasa dia mula memancing ikan rohu pada tahun 2013, tidak ramai yang minat untuk menangkap ikan itu berikutan ia dipercayai bukanlah ikan tempatan.

Namun, semakin lama, ikan itu menjadi antara buruan yang diminati pemancing kerana nilai komersial dan ‘penangannya’ melawan tarikan joran.

Minat terhadap ikan rohu telah menjadikannya sebagai sasaran buruan Rasid di setiap kolam ikan yang dikunjunginya.

Tidak hanya itu, bapa kepada tujuh cahaya mata itu juga telah menjelajah ke banyak kolam di seluruh Malaysia hanya untuk memancing ikan rohu.

Katanya, berdasarkan pengalaman, satu perkara yang menarik tentang memancing rohu di setiap kolam ialah ragam ikan tersebut yang berbeza-beza.

“Banyak perkara yang mempengaruhi ragam ikan rohu antaranya jenis air yang digunakan dan diet ikan di setiap habitatnya.

“Hal ini juga mempengaruhi jenis umpan dan teknik memancing yang perlu digunakan untuk memikat ikan tersebut semasa memancing,” ujarnya yang merupakan pengasas kepada grup komuniti aplikasi sosial Facebook, Group Memancing Ikan Rohu @ Teknik dan Umpan.

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2023/10/c6a52a7e-3895-4b1c-8bcf-8639d296c233-600x433.jpg
Komuniti yang dibentuk turut menganjurkan pertandingan memancing ikan rohu dari semasa ke semasa.


Rasid yang mesra disapa dengan panggilan Acit menubuhkan grup tersebut pada tahun 2017 sebagai platform untuk mengumpulkan komuniti dan berkongsi tip serta umpan untuk memancing ikan rohu.

Tuturnya lagi, saiz ikan di setiap kolam juga berbeza yang mana seekor ikan rohu boleh mencecah antara tiga hingga 15 kilogram.

Menurutnya, perbezaan ragam itu jugalah membuatkan dia tidak bosan untuk memburu rohu kerana setiap kali memancing, dia akan sentiasa memikirkan teknik dan umpan yang tepat di setiap kolam.

Jelasnya, cara menangkap rohu boleh berubah-ubah, antaranya penggunaan mata kail dengan ada yang menggunakan mata dua atau mata bom.

Bagi jenis umpan pula, ada yang memakai campuran dedak dan terdapat sebahagian yang menggunakan roti.

“Perubahan teknik ini membuatkan saya sentiasa meneroka apa lagi cara yang boleh digunakan untuk menangkap ikan rohu.

“Antara penemuan teknik yang saya dapat adalah ketika di kolam ikan yang sedikit keruh, campuran dedak perlu lebih beraroma supaya ikan boleh mengesan keberadaan umpan,” jelasnya.

Tambahnya, cabaran-cabaran tersebut juga yang mencetuskan idea buatnya menubuhkan grup Facebook bagi membolehkan pemancing dengan minat sama bertukar-tukar ilmu.

Menerusi grup tersebut juga, Rasid turut aktif mengadakan pertandingan memancing rohu yang dianjurkan di kolam-kolam sekitar Malaysia.

Kongsinya, pertandingan tersebut merupakan medium buatnya mengeratkan hubungan antara para pemancing sekali gus berkongsi keterujaan memancing ikan rohu.

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/10/21/teruja-dengan-rencam-ragam-ikan-rohu/

Pages: [1]
View full version: Teruja dengan rencam ragam ikan rohu


ADVERTISEMENT