Raline Publish time 21-10-2023 08:03 AM

Keberkatan & kebaikan daripada mensyukuri nikmat

Keberkatan & kebaikan daripada mensyukuri nikmat



https://assets.hmetro.com.my/images/articles/1018rsaddin_1697666452.jpg
KESYUKURAN terhadap nikmat Allah SWT dizahirkan dengan melakukan amal kebaikan.


Kemakmuran Malaysia tercinta adalah kurniaan terindah buat seluruh rakyat Malaysia. Diberikan Allah SWT kepada kita anugerah bumi yang subur dengan tanaman, hasil galian, keindahan muka bumi di samping kepemimpinan yang baik dan adil buat rakyat.

Kesemua anugerah Allah SWT adalah kurniaan untuk manusia bertujuan supaya manusia sentiasa bersyukur dan menghargai apa yang diberikan Allah kepada manusia. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahan-Nya dan kasih sayang-Nya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki daripada limpah kurnia-Nya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran)." (SurahAr-Rum 30:23)

Jika ditelusuri keadaan umat Islam di luar sana yang diuji dengan pelbagai ujian yang berat dan sukar seperti bencana alam, kekurangan makanan, kemelesetan ekonomi, penindasan, peperangan dan lain-lain lagi sudah tentu negara Malaysia masih mampu bertahan dan mendapat nikmat besar anugerah Allah SWT buat hamba-Nya.

Kemakmuran negara yang dikecapi kini membolehkan kita mendapat manfaat yang besar dan mampu mengenali hakikat sebenar tujuan mengapa nikmat ini masih kekal dinikmati. Hal ini supaya manusia sentiasa menghargai kurniaan tersebut. Justeru manusia harus sedar dan insaf bahawa semua anugerah ini milik Allah SWT sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaan-Nya, masing-masing tetap tunduk kepada hukum peraturan-Nya." (SurahAr-Rum 30:26)

Manusia perlu sedar apa yang kita miliki hari ini adalah pinjaman bersifat sementara manakala manfaat yang diperolehi menjadikaninsan perlu bersikap adil terhadap diri sendiri dengan tidak menyalahkan pinjaman dan anugerah Allah SWT buat kita. Kebaikan yang diberi dimanfaatkan dengan sebaik yang mungkin tanpa menjadikan ia rosak, binasa dan musnah disebabkan kejahilan dan sifat rakus segelintir manusia yang tamak haloba.

Hal ini ditegaskan di dalam al-Quran yang bermaksud: "Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri), dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka daripada azab."(SurahAr-Rum 30:29)

Untuk itu, setiap insan perlu berusaha mendalami ilmu pengetahuan yang luas bagi meneroka hakikat anugerah terindah Allah SWT buat manusia demi memastikan kemakmuran Malaysia kekal terpelihara aman damai dan subur mewangi dengan haruman terindah melalui kerangka ilmu, iman dan amalulillah (beramal kerana Allah SWT).

Kepemimpinan yang adil dan bijak juga adalah sebahagian anugerah Allah SWT buat rakyat Malaysia. Segala usaha baik dan adil melalui dasar dan pelaksanaan untuk membantu rakyat merupakan nikmat Allah SWT buat hamba-Nya agar senantiasa menghargai dan mensyukuri pemberian tersebut.

Hal ini bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri RA yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling dicintai Allah pada Hari Kiamat dan memperoleh kedudukan dekat dengan-Nya adalah pemimpin yang adil. Orang yang paling dimurkai oleh Allah pada Hari Kiamat dan mendapat tempat paling jauh daripada-Nya ialah pemimpin yang zalim."(Riwayat Tirmidzi)

Justeru (karamah) kemuliaan bagi setiap pemimpin yang adil menjadikan ia mulia dan dekat di sisi Allah SWT ketimbang pemimpin yang zalim. Oleh itu, menghargai pemimpin yang adil perlu sentiasa hadir dalam jiwa setiap Mukmin dan sudah pasti seluruh rakyat yang berfikiran waras pasti sedar anugerah Allah SWT bagi pemimpin yang adil untuk rakyat perlu sentiasa dihargai kerana kedudukan mereka yang mulia di sisi Allah SWT pada Hari Akhirat di samping kebaikan yang besar yang telah dilakukan.

Karamah insaniah (kemuliaan diri yang dimiliki) telah berjaya membina maslahat umum dengan menjadikan Malaysia sentiasa mendapat rahmat dan berkat daripada-Nya. Semoga hal ini menjadikan kita sentiasa terdidik dengan akhlak Muslim yang baik seterusnya menghargai segala yang ada menjadi asbab untuk kita mendapat kurniaan lebih baik pada masa hadapan. Keberkatan dan kebaikan pasti hadir dengan sikap menghargai, mensyukuri dan mengadili dengan jujur serta ikhlas.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara Cawangan Perlis

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2023/10/1021509/keberkatan-kebaikan-daripada-mensyukuri-nikmat

Pages: [1]
View full version: Keberkatan & kebaikan daripada mensyukuri nikmat


ADVERTISEMENT