mattzzx Publish time 18-10-2023 04:54 PM

Berat dugaan mu Jefridin dan Halilah

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/datak_1697593078.jpg
Halilah Md Daud, 41, terpaksa menggunakan mesin nebulizer (sedut gas) untuk membantu masalah asma yang dihadapinya. Foto Ahmad Hasbi

Seremban: Setiap hari Halilah Md Daud, 41, terpaksa bergantung kepada ubat 'inhaler' dan mesin nebulizer (sedut gas) akibat mengalami asma yang teruk selain didiagnos menghidap 'Obstructive Sleep Apnea' (OSA) iaitu gangguan pernafasan ketika tidur.

Apa yang membimbangkan, suaminya, Jefridin Jayakumaran Abdullah, 67, yang menjadi tulang belakang keluarga turut menghidap masalah jantung dan sudah beberapa kali pengsan dan terjatuh ketika melakukan aktiviti harian.

Kesannya, pasangan ini kini berada dalam kesempitan, malah anak tunggal mereka Muhammad Ariff Jefridin yang berusia lima tahun terpaksa berhenti belajar di sebuah tadika kerana mereka tidak mampu membayar yuran bulanan.

Halilah berkata, keadaan kesihatan mereka menyebabkan dia dan suami yang juga seorang mualaf tidak dapat keluar mencari rezeki.

"Usahkan untuk keluar bekerja, waktu tidur pun saya diserang asma dan terpaksa tidur dalam keadaan bersandar. Saya tidak dapat melelapkan mata kerana masalah pernafasan yang akan berhenti secara tiba-tiba.

"Terbaru, saya dimasukkan ke wad di Hospital Rembau pada 22 September lalu disebabkan masalah pernafasannya yang tidak normal dan didiagnos menghidap OSA atau ganguan pernafasan ketika tidur," katanya ketika ditemui di kediamannya.

Halilah yang menyewa di Taman Widuri Indah, Senawang, di sini, berkata, doktor sudah menjalankan ujian tidur atau 'Sleep Study' kali pertama untuk menentukan punca penyakit dan jenis rawatan yang bersesuaian.

"Buat masa ini saya bergantung kepada ubat 'inhaler' dan mesin nebulizer untuk masalah pernafasan tetapi masih semput dan perlu meneruskan rawatan.

"Suami pula menghidap penyakit jantung kronik dan selalu pengsan menyebabkan kami hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga.

"Saya menghidap penyakit asma sejak 2004, doktor memaklumkan ia berkemungkinan berpunca daripada serbuk yang digunakan ketika bekerja di sebuah kilang sarung tangan di Kuala Pilah ketika itu.

"Asma dihidapi mulai teruk ketika mengandung pada 2018 dan kemuncaknya ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) lalu," katanya.

Halilah berkata, disebabkan masalah kesihatan pasangan suami isteri itu sukar mendapatkan kerja dan kini hanya bergantung kepada wang bantuan asnaf dari baitulmal sebanyak RM450 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200.

"Duit bantuan itulah digunakan untuk membayar sewa rumah RM500 sebulan, bil api air, jika diikutkan tidak cukup kerana kos rawatan kesihatan kami berdua termasuk pengangkutan ke hospital sudah mencecah RM1,500 sebulan.

"Malah, sewa rumah juga sudah tertunggak hampir tiga bulan, mujur tuan rumah faham. Malah anak terpaksa berhenti sekolah di tadika kerana kami tidak mampu bayar yuran RM200 sebulan," katanya.

Wanita itu juga buntu memikirkan bantuan kewangan selepas doktor meminta dia membuat ulangan ujian tidur sleep study sendiri di rumah dengan kos sebanyak RM300.

"Doktor beritahu kalau tunggu buat di hospital ambil masa lambat dan ujian ini akan diuruskan oleh pihak vendor yang akan datang ke rumah," katanya yang turut menghidap penyakit kencing manis dan hernia (angin pasang).

Bercerita lanjut, Halilah berkata, suaminya tidak boleh tertekan dan sudah empat kali terjatuh termasuk dari motosikal akibat masalah jantung yang dihidapi sejak Oktober 2020.

"Sepatutnya suami perlu mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, tetapi kami tidak mampu dan minta doktor bekalkan ubat di Klinik Kesihatan Senawang sahaja," katanya.

Tambah Halilah, kehidupan mereka sekeluarga kini memang sukar sehinggakan terpaksa memberi anaknya makan nasi tanpa lauk selain bergantung kepada ihsan jiran dan rakan.

"Sebelum sakit, suami pernah bekerja sebagai pemandu bas. Dia pernah memohon kerja di tempat lain, namun sukar ekoran keadaan kesihatan dan faktor umur.

"Sebelum ini pernah bekerja, namun disebabkan keadaan kesihatan, saya dinasihatkan berhenti. Saya pernah juga cuba meniaga nasi lemak tetapi akibat asma, tidak dapat diteruskan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/10/1021258/berat-dugaan-mu-jefridin-dan-halilah
Pages: [1]
View full version: Berat dugaan mu Jefridin dan Halilah


ADVERTISEMENT