Raline Publish time 15-10-2023 07:41 PM

Rossa cari komposer Malaysia

Rossa cari komposer Malaysia


https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2023-10-14_at_5.37.55_PM_1697353215.jpg
Sebelum ke Sabah, Rossa dijangka mementaskan Konsert Another Journey: The Beginning di tiga lokasi di Indonesia iaitu Samarinda, Makassar dan Bandung. Foto IG Rossa


KOTA KINABALU : Selepas lebih 25 tahun bergelar anak seni, penyanyi popular Indonesia, Datuk Seri Rossa menyimpan hasrat bekerjasama dengan maestro muzik Malaysia sama ada untuk lagu atau album baharu.

Mula dikenali menerusi lagu Tegar, Rossa menyatakan hasrat itu sudah lama hadir dalam benak fikirannya, namun, belum berkesempatan merealisasikan hingga hari ini.

Penyanyi kelahiran Sumedang, Jawa Barat itu berkata, bekerjasama dengan komposer dan penulis lirik Malaysia adalah pengalaman indah buat penyanyi seberang sepertinya.

Rossa menyifatkan Malaysia sebagai rumah kedua tidak akan melepaskan kesempatan jika diberi peluang merakamkan lagu ciptaan komposer di negara ini.

"Ini satu keinginan yang belum tercapai sehingga kini. Saya mahu merakamkan lagu atau album dengan pencipta di Malaysia kerana ia sudah terfikir sejak sekian lama, tetapi belum menjadi kenyataan.

"Banyak aspek harus dipertimbangkan disebabkan ia membabitkan dua negara. Kebiasaannya, proses menghasilkan lagu memang memerlukan masa agak lama.

"Pemilihan karya sama ada bersesuaian dengan saya atau tidak juga penting. Ini kerana setiap penyanyi memiliki kemampuan tersendiri dan genre muzik berbeza.

"Saya sendiri turut serta dalam pemilihan lagu dan muzik jika mahu menerbitkan lagu baharu.

https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2023-10-14_at_5.38.08_PM_1697353220.jpg
Rossa menyifatkan Malaysia sebagai rumah kedua tidak akan melepaskan kesempatan jika diberi peluang merakamkan lagu ciptaan komposer di negara ini. Foto IG Rossa


"Insya-Allah, saya mahu mencari karya paling tepat agar dapat berkolaborasi bersama pemuzik handalan dari Malaysia," katanya kepada BH Online.

Turut dikenali sebagai Ratu Runut Bunyi Filem dan Sinetron Indonesia, Rossa bakal meneruskan siri jelajah Konsert Another Journey: The Beginning yang kali pertama dipentaskan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Disember depan.

Konsert di Sabah juga bakal diserikan dengan penampilan istimewa penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan.

Sebelum ke Sabah, Rossa dijangka mementaskan Konsert Another Journey: The Beginning di tiga lokasi di Indonesia iaitu Samarinda, Makassar dan Bandung.

Ditanya mengenai siri jelajahnya, Rossa menyatakan konsert itu julung kali diadakan sempena kehadiran album baharu.

Rossa menganggap usaha mementaskan siri jelajah bukan sahaja di Indonesia, sebaliknya, beberapa negara lain sebagai peluang yang tidak harus dipersiakan.

Rossa yang terkenal dengan lagu Ayat-Ayat Cinta mahu bertemu lebih dekat dengan peminat yang menggelarkan diri mereka Pencinta Rossa.

"Saya sudah cukup dikenali di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei.

"Peminat juga sentiasa bertukar generasi. Sebelum ini, peminat mendengar lagu Rossa sebelum berkahwin, tetapi sekarang, anak-anak mereka pula membesar dengan lagu nyanyian saya.

"Jadi, saya teruja mahu melihat generasi hari ini hadir bersama ke Konsert Another Journey: The Beginning.

"Semoga saya dapat bertemu lebih ramai penggemar Rossa dalam kalangan generasi Z," katanya.


Sumber:https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2023/10/1165398/rossa-cari-komposer-malaysia

Pages: [1]
View full version: Rossa cari komposer Malaysia


ADVERTISEMENT